FOXBOROUGH, 10 JULAI – Lionel Messi menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama ketika membantu Inter Miami meraih kemenangan 2-1 ke atas New England Revolution kelmarin, meneruskan rentak prestasi luar biasa yang belum pernah dilakar dalam sejarah Major League Soccer (MLS).
Bintang Argentina berusia 38 tahun itu kini telah menjaringkan dua gol dalam empat perlawanan MLS berturut-turut – menjadikannya pemain pertama dalam sejarah liga yang menjaringkan dua gol atau lebih dalam empat perlawanan berturut-turut.
Prestasi hebat ini bermula pada akhir Mei apabila Messi menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-2 ke atas Montreal, diikuti dua lagi dalam kemenangan 5-1 ke atas Columbus.
Miami kemudian berehat seketika daripada saingan MLS untuk menyertai Piala Dunia Kelab – di mana Messi menyumbang satu gol dalam empat perlawanan, namun pasukannya tersingkir di pusingan 16 selepas ditewaskan Paris Saint-Germain.
Pasukan kendalian Javier Mascherano kembali ke aksi liga pada Sabtu lalu dengan kemenangan 4-1 ke atas Montreal – juga dibantu dua jaringan daripada pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu.
Secara keseluruhan, Messi kini telah mengumpul 14 gol dalam 15 perlawanan MLS, hanya dua gol di belakang penjaring terbanyak liga, Sam Surridge, yang telah bermain enam perlawanan lebih banyak bersama Nashville musim ini.
“Sudah tentu, Leo adalah pemain yang istimewa,” kata Mascherano. “Bagi saya, dia adalah pemain terbaik dalam sejarah sukan ini. Sungguh luar biasa bagaimana dia terus melakukan perkara-perkara yang kita sangka tidak mungkin berlaku pada usia ini.”
Messi membuka jaringan pada minit ke-27 di Stadium Gillette, mengambil peluang daripada kesilapan pertahanan Revolution sebelum melepaskan rembatan kaki kiri dari tengah kotak penalti.
Sebelas minit kemudian, Messi menggandakan jaringan dengan menyambut hantaran jauh daripada Sergio Busquets, dan melorongkan bola ke penjuru gawang menewaskan penjaga gol Slovenia, Aljaz Ivacic. – AFP
