Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi mahu beraksi di Piala Dunia 2026

    MIAMI, 28 OKT – Lionel Messi memasang impian untuk beraksi bersama Argentina pada Piala Dunia tahun depan, namun menjelaskan dia akan menilai kemampuan fizikalnya terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada impian itu dapat direalisasikan.
     
    Penyerang berusia 38 tahun yang kini beraksi bersama Inter Miami dalam saingan Major League Soccer (MLS) itu pernah membantu Argentina menjuarai Piala Dunia 2022 dan berhasrat untuk kembali beraksi bersama skuad Albiceleste dalam usaha mempertahankan gelaran berprestij itu di Amerika Utara pada tahun depan.
     
    Pemenang Ballon d’Or lapan kali itu memberitahu NBC News dalam satu temu bual yang disiarkan kelmarin, dia akan melihat bagaimana keadaan tubuhnya tahun depan sebelum membuat keputusan sama ada boleh bermain dalam Piala Dunia yang dikongsi tuan rumah oleh Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
     
    “Ia sesuatu yang luar biasa untuk dapat berada dalam Piala Dunia dan saya amat ingin melakukannya. Saya ingin berada di sana, berada dalam keadaan baik dan menjadi sebahagian penting dalam membantu pasukan kebangsaan, jika saya berada di sana,” kata Messi.
     
    “Saya akan menilai itu dari hari ke hari apabila saya memulakan pra-musim tahun depan dengan Inter dan melihat sama ada saya benar-benar boleh berada pada tahap 100 peratus, jika saya boleh berguna untuk pasukan, untuk pasukan kebangsaan dan kemudian membuat keputusan,” tambahnya.
     
    Messi, yang bermain secara profesional sejak 2004, ingin peluang sekali lagi menyerlah di pentas terbesar bola sepak.
     
    “Saya benar-benar teruja kerana ini adalah Piala Dunia. Kami baru sahaja menjuarai Piala Dunia terakhir dan dapat mempertahankannya di padang lagi adalah sesuatu yang hebat kerana bermain bersama pasukan kebangsaan, terutamanya dalam pertandingan rasmi, sentiasa menjadi impian,” ujarnya.
     
    Messi, yang membuat debut dengan Barcelona di La Liga pada usia 17 tahun, menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada 2021 dan berpindah ke MLS pada 2023.
     
    Messi telah membuat 195 penampilan untuk pasukan kebangsaan Argentina dan berjaya menjaringkan 114 gol. – AFP
     
    Reaksi Lionel Messi semasa menerima MLS Golden Boot 2025 daripada Don Garber di Chase Stadium, Fort Lauderdale, Florida pada 24 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda