PARIS, 13 JAN – Kunjungan Paris Saint-Germain (PSG) ke Rennes pada Ahad nanti dijangka menjadi kali pertama pemain bintang utama mereka, Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar bermain bersama sejak Piala Dunia.
Mbappe kembali menjalani latihan pada Khamis setelah diberi cuti 10 hari sejurus pulang dari Qatar dan bermain dalam dua perlawanan pertama PSG selepas kejohanan itu.
Dia berlepas ke New York untuk berehat ketika Messi membuat kemunculan semula, dan menjaringkan gol, dalam kemenangan 2-0 untuk pendahulu Ligue 1 menentang Angers pada Rabu.
Piala Dunia adalah faktor pendorong yang jelas dalam prestasi cemerlang ketiga-tiga pemain ini pada awal kempen, dan cara mereka bermain bersama adalah penting dalam menentukan bagaimana baki musim ini untuk PSG.
PSG unggul enam mata daripada Lens sebelum melengkapkan separuh pertama musim di Rennes, tetapi Liga Juara-Juara adalah objektif utama mereka.
Selepas gagal menduduki tempat teratas kumpulan mereka, pasukan Christophe Galtier diundi menentang Bayern Munich dalam pusingan 16 terakhir, dengan perlawanan pertama di tempat sendiri ditetapkan pada 14 Februari nanti. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/01/P22-4-Messi-paper-web_14012023.jpg)