NASHVILLE, 20 OGOS – Lionel Messi meledak jaringan dan memenangi trofi pertamanya dalam saingan bola sepak Amerika Utara ketika Inter Miami menewaskan Nashville menerusi sepakan penalti (10-9) selepas perlawanan akhir berakhir 1-1 dalam tempoh 90 minit.
Pemenang Piala Dunia bersama Argentina itu meletakkan Miami di hadapan pada minit ke-24 dengan rembatan menakjubkan tetapi Fafa Picault menyamakan kedudukan untuk Nashville pada separuh masa kedua.
Selepas percubaan Messi terkena tiang dan Leonardo Campana terlepas peluang kedua, perlawanan itu berlanjutan ke penentuan sepakan penalti yang berakhir dengan pertarungan antara dua penjaga gol dan sepakan Elliot Panicco diselamatkan oleh Drake Callender dari Miami.
Messi dan rakan sepasukannya bergegas untuk meraikan bersama penjaga gol Amerika Syarikat (AS) itu, yang beberapa kali menyelamatkan percubaan penting pada lewat permainan untuk memastikan pasukannya terus berjuang.
“Ia sesuatu yang istimewa dan saya bertuah dapat menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” kata Messi.
Miami, yang beraksi dalam musim ketiga sejak penubuhannya, berada di tangga tercorot Major League Soccer apabila Messi menyertai mereka bulan lalu, tetapi dia memimpin pasukan untuk mengharungi saingan tanpa sebarang kekalahan dan memenangi Piala Liga.
Pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu kini sudah meledak 10 gol dalam tujuh penampilan bersama kelab baharunya dan berpeluang mara ke satu lagi final apabila pasukannya bertemu Cincinnati di separuh akhir Piala Terbuka Amerika Syarikat. – AFP