KAHERAH, 22 Feb – Bintang bola sepak Argentina Lionel Messi berada di Mesir hari ini bagi mempromosikan negara Afrika Utara itu sebagai destinasi pelancongan perubatan untuk pesakit hepatitis C yang begitu lumrah di Mesir.
“Ubat hepatitis C menyelamatkan nyawa, mari kita sama-sama memberikan satu noktah kepada senarai menunggu,” superstar Barcelona FC berkata di laman rasmi Facebook beliau.
Messi telah menandatangani perjanjian untuk menjadi duta Tour n’ Cure, inisiatif Mesir berkata di laman sesawang mereka.
Program ini menawarkan rawatan untuk pesakit hepatitis C dari seluruh dunia ‘tanpa perlu menunggu dengan kos yang amat rendah,” katanya.
Inisiatif ini juga mempromosikan peluang untuk menikmati keindahan Mesir dan melawat tempat-tempat bersejarah semasa hari rawatan sambil menikmati penginapan yang menenangkan di hotel 5 bintang.
![Messi menghadiri sidang media di Giza kelmarin sempena promosi rawatan hepatitis C di Mesir. – AFP](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/02/P21-B_23217.jpg)
Hepatitis C menjejaskan antara 130 hingga 150 juta orang di seluruh dunia dan boleh menyebabkan sirosis hati atau kanser. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, hepatitis C juga bertanggungjawab untuk 500,000 kematian setiap tahun.
Lawatan Messi ke Mesir pada mulanya dijadualkan pada Disember tahun lepas tetapi ditangguhkan selepas pengeboman berani mati sebuah gereja di Kaherah membunuh 29 orang.
Lawatan beliau juga ditangguhkan sekali lagi minggu lalu selepas Barca tewas 4-0 kepada Paris SG, menurut Kementerian Pelancongan Mesir tanpa memberi butiran lanjut. – AFP