Sunday, December 22, 2024
21.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi-Ronaldo berentap dalam perlawanan persahabatan

    PARIS, 10 JAN – Lionel Messi dan Paris Saint-Germain akan bermain dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan terpilih yang terdiri daripada pemain dari kelab baru Cristiano Ronaldo, Al Nassr dan saingan mereka dari Saudi Al Hilal di Riyadh pada 19 Januari, juara Perancis itu mengumumkan kelmarin.

    PSG yang dimiliki oleh Qatar akan bertandang ke Doha pada 17 Januari sebelum berpindah ke ibu negara Saudi untuk perlawanan di Stadium King Fahd yang akan menyaksikan Messi dan Ronaldo memperbaharui saingan mereka. Messi kembali menjalani latihan bersama PSG minggu lalu selepas diberi rehat dua minggu berikutan kejayaan Argentina menjuarai Piala Dunia di Qatar pada Disember.

    Sementara itu, Ronaldo, yang akan berusia 38 tahun pada Februari, baru-baru ini menyertai Al Nassr selepas bersetuju dengan kontrak yang berlangsung sehingga 2025 dan dilaporkan bernilai lebih 200 juta euro (A$214 juta). Ketibaannya di Al Nassr, yang dibimbing oleh pemain Perancis, Rudi Garcia, sebagai usaha Arab Saudi untuk memperbaiki profil bola sepak di negara itu menjelang kemungkinan bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2030 bersama Greece dan Mesir.

    Ronaldo dan Messi telah mendominasi sukan itu sejak 15 tahun lalu, memenangi Ballon d’Or sebanyak 12 kali antara mereka.

    Persaingan mereka bertambah dalam tempoh sembilan tahun di mana mereka menentang satu sama lain di Sepanyol, ketika Messi membintangi Barcelona dan Ronaldo untuk Real Madrid. Kelab Riyadh Al Hilal dan Al Nassr adalah dua pasukan paling berjaya di Arab Saudi.

    PSG telah membuat kebiasaan pergi ke Qatar pada musim sejuk sejak negara Teluk itu membeli kelab itu pada 2011. Bagaimanapun, perjalanan ini dilakukan walaupun pendahulu Liga Satu itu mempunyai perlawanan Piala Perancis yang dijadualkan pada hujung minggu 21 dan 22 Januari menentang pasukan dari liga bawahan yang masih belum ditentukan. – AFP

    Messi (kiri), berebut bola dengan Cristiano Ronaldo, semasa perlawanan bola sepak suku akhir, pusingan kedua Copa del Rey di stadium Camp Nou, di Barcelona, ​​Sepanyol, Januari 2012. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda