FRISCO, AMERIKA SYARIKAT, 7 OGOS – Lionel Messi menjaringkan dua gol termasuk jaringan penyamaan mengagumkan ketika Inter Miami bangkit mengatasi FC Dallas 5-3 menerusi penentuan penalti untuk mara ke suku akhir Piala Liga-Liga semalam.
Sepakan percuma melencong pada minit ke-85 yang juga jaringan ketujuh Messi dalam empat perlawanan untuk Miami mengheret aksi ke penentuan penalti selepas skuadnya yang ketinggalan 2-4 bangkit mengikat keputusan 4-4 ketika permainan berbaki 10 minit.
“Jelas sekali sepakan percuma dalam kawasan itu sama seperti sepakan penalti kepada pemain lain,” kata jurulatih Dallas dari Sepanyol, Nico Estevez merujuk kepada jaringan menarik Messi.
Piala Liga-Liga kejohanan membabitkan kelab dari Major League Soccer dan Liga MX Mexico tidak mempunyai tambahan masa yang menyaksikan perlawanan terus ke penentuan penalti selepas berakhir seri.
Messi meledak penalti pertama sementara Paxton Pomykal terlepas untuk Dallas dan pemain berusia 18 tahun Cremaschi memastikan kemaraan Miami dengan menjaringkan penalti terakhir.
“Menakjubkan apa yang dilakukan Messi,” kata pemain kelahiran Miami, Cremaschi yang ibu bapanya rakyat Argentina. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P22-2-Messi_08082023.jpg)