Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Messi ucap selamat tinggal, tiga negara sah ke Piala Dunia

    RIO DE JANEIRO, 5 SEPT – Colombia, Paraguay dan Uruguay mengesahkan tempat ke Piala Dunia FIFA tahun depan manakala Lionel Messi mengucapkan selamat tinggal penuh emosi kepada peminat Argentina pada hari kedua terakhir saingan kelayakan Amerika Selatan.
     
    Messi menjaringkan dua gol ketika Argentina menewaskan Venezuela 3-0 dalam apa yang dijangka menjadi aksi kelayakan terakhir di laman sendiri buat pemain berusia 38 tahun itu, sekali gus menjadi tumpuan utama perlawanan kelmarin.
     
    Kapten Albiceleste itu menahan sebak ketika peminat melaungkan namanya semasa sesi pemanasan badan, sebelum membuka jaringan dengan sepakan melepasi penjaga gol Rafael Romo.
     
    Pemain gantian Lautaro Martinez menambah gol kedua dengan tandukan hasil hantaran rendah Nico Gonzalez, sebelum Messi melengkapkan kemenangan dengan jaringan ketiga selepas gerakan bersama Thiago Almada.
     
    Messi mengakui malam itu penuh makna perpisahan di Stadium Monumental, Buenos Aires.
     
    Aksi Lionel Messi semasa perlawanan kelayakan Piala Dunia FIFA di stadium Mas Monumental pada 4 September. – AFP
    Messi mengucapkan selamat tinggal penuh emosi kepada peminat Argentina pada hari kedua terakhir saingan kelayakan Amerika Selatan. – AFP
    “Dapat menamatkan (aksi kelayakan) dengan cara ini di sini bersama penyokong saya adalah sesuatu yang saya selalu impikan. 
     
    Persaraan bukan sesuatu yang saya suka, mahu atau jangka. Saya suka bermain dan tidak mahu ia berakhir, tetapi saya juga sedar saat itu semakin hampir,” katanya.
     
    Di Asuncion, keputusan seri tanpa jaringan menentang Ecuador memastikan Paraguay layak ke Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 16 tahun, mengumpul 25 mata – catatan terbaik sejak kempen kelayakan 2010.
     
    “Rahsianya adalah memenangi sokongan pemain, bukan sekadar berkongsi idea, tetapi juga bagaimana kami mahu rakyat melihat kami,” kata jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro.
     
    Ecuador yang kini berada di tempat keempat carta kelayakan Amerika Selatan turut menempah tiket ke Piala Dunia.
     
    Di Barranquilla, Juan Fernando Quintero menjaringkan satu gol dan mencipta satu lagi ketika Colombia menewaskan Bolivia 3-0 untuk mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
     
    James Rodriguez membuka tirai jaringan hasil hantaran lintang Santiago Arias, sebelum Jhon Cordoba menggandakan kedudukan dengan rembatan selepas menerima hantaran jauh Quintero. Quintero kemudian menjaringkan gol ketiga dengan sepakan tenang selepas menerima hantaran Luis Diaz.
     
    Di Montevideo pula, Uruguay mengesahkan kelayakan ke Piala Dunia buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan Peru 3-0. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda