Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Lebih 100 pemimpin kanan perniagaan daripada Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) akan mengadakan mesyuarat di negara ini pada 27 hingga 30 April untuk mengambil bahagian dalam Persidangan Perniagaan Brunei dan membincangkan mengenai cadangan ABAC kepada Pemimpin APEC di bawah tema ‘Ekuiti. Kelestarian. Peluang’ di Sidang Kemuncak APEC pada bulan November.
“Kami benar-benar berbesar hati dan teruja untuk menjadi tuan rumah Mesyuarat ABAC ke-2. Persidangan Perniagaan Brunei akan menjadi platform unik untuk komuniti perniagaan Brunei untuk menjalin rangkaian dengan ABAC dan untuk membincangkan dan menyampaikan cadangan substantif tentang bagaimana kita semua boleh bekerjasama untuk menghadapi isu global transformasi digital dan pertumbuhan mampan serta; mengenal pasti peluang untuk pertumbuhan perniagaan,” kata Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii selaku Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan APEC Brunei.
ABAC ialah suara utama perniagaan di Asia Pasifik yang terdiri daripada ahli yang dilantik oleh setiap 21 ekonomi APEC. Pada 2023, ABAC akan mentauliahkan laporan dan membangunkan cadangan kepada pemimpin APEC tentang cara dasar perdagangan dan pelaburan boleh dimanfaatkan untuk menangani perubahan iklim, taraf hidup dan transformasi digital, antara cabaran lain. Untuk maklumat lanjut mengenai Persidangan Perniagaan Brunei dan untuk mendaftar orang ramai bolehlah melayari https://bit.ly/BruneiBusinessConference.
Persidangan Perniagaan Brunei adalah elemen Program Ekonomi Brunei yang dihoskan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan APEC Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Bank Baiduri, Brunei LNG, Hengyi Industries, BIBD, Brunei Gas Carriers, Syarikat Minyak Brunei Shell, Mitsubishi, TotalEnergies, imagine dan Syarikat Brunei Methanol serta organisasi sektor awam dan swasta terkemuka untuk menghubungkan keutamaan APEC dan ASEAN dengan komuniti perniagaan.