Tuesday, July 2, 2024
22 C
Brunei

    -

    Mesyuarat ADGSOM-ATRC fokus ekosistem digital inklusif

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Digital ASEAN 2024 dan Majlis Pengatur Telekomunikasi ASEAN (ADGSOM-ATRC) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bersama rakan-rakan dialog, Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan Telekomuniti Asia Pasifik (APT) telah dirasmikan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

    Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dalam ucapan alu-aluannya selaku Ketua ADGSOM bagi Negara Brunei Darussalam, menekankan kepentingan kepercayaan dan keterangkuman untuk diselaraskan dengan tema Mesyuarat Menteri-menteri Digital ASEAN (ADGMIN) ke-4 iaitu Membina Ekosistem Digital yang Inklusif dan Dipercayai.

    Beliau menekankan kepentingan memupuk kerjasama dalam kalangan ASEAN dalam aspek infrastruktur digital sektor awam, pembangunan tenaga kerja yang berkemahiran digital, serta membina kedayatahanan dan ekosistem digital yang dipercayai.

    Ini boleh dilihat melalui keupayaan kumpulan kerja dalam membincangkan status pelaksanaan projek-projek di bawah ADGSOM-ATRC 2024 dan menerokai cadangan projek-projek bagi work cycle 2025.

    Majlis diteruskan dengan ucapan pembukaan daripada pengerusi bersama mesyuarat berkenaan, Pengarah Infocomm Media Development Authority (IMDIA), Republik Singapura, Evelyn Goh dan Timbalan Ketua Pengarah, Kementerian Teknologi dan Komunikasi, Republik Demokratik Rakyat Laos, Phavanhna Douangboupha.

    Mesyuarat yang dijadualkan berlangsung hingga 27 Jun itu dihadiri oleh perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN, ITU, APT, negara-negara rakan dialog, Timor-Leste sebagai pemerhati dan Sekretariat ASEAN.

    Mesyuarat ADGSOM-ATRC JWG 2024 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan bersama rakan-akan dialog, APT dan ITU diadakan bagi menyelaraskan pelaksanaan projek-projek dan aktiviti di bawah ADGSOM-ATRC work cycle 2024 dan untuk membincangkan inisiatif ADGSOM-ATRC yang baharu bagi work cycle 2025.

    Di samping itu, mesyuarat turut membincangkan kemajuan yang telah dicapai dalam melaksanakan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025) dan cadangan-cadangan yang digariskan di bawah ADM2025 Mid Term Review serta persediaan untuk Retreat Pemimpin ADGSOM-ATRC ke-2 yang dijadualkan untuk diadakan pada akhir 2024.

    Sebelum mesyuarat tersebut berlangsung, perwakilan negara-negara anggota ASEAN telah menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Keselamatan Rangkaian ASEAN (ANSAC) yang bertanggungjawab terhadap menyelaraskan aktiviti-aktiviti kerjasama berkaitan keselamatan siber ASEAN dalam sektor digital serta Mesyuarat Sub-Kumpulan Kerja Pengurusan Spektrum (SSM) dan Bengkel Spektrum ASEAN SSM – GSMA yang antara lain membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan spektrum bagi ASEAN.

    Haji Hairul Mohd Daud bergambar ramai bersama perwakilan-perwakilan yang hadir di Hotel Antarabangsa Rizqun. – GAMBAR OLEH SIM Y. H.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea S wujudkan kementerian populasi, tangani penuaan, kadar kelahiran rendah

    SEOUL, 1 JULAI – Korea Selatan akan mewujudkan kementerian baharu bagi menangani kadar kelahiran rendah dan isu penuaan penduduk yang menjadi antara cabaran terbesar...