Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Forum Perniagaan Brunei Britain (BBBF) telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 yang mengumpulkan ahli, pemimpin perniagaan dan tetamu bagi mengimbas pencapaian dan berbincang kerjasama akan datang.
Mesyuarat berkenaan diadakan di The Roof, Bangunan Annexe, Kolej Perniagaan Laksamana (LCB) baru-baru ini.
Dalam mesyuarat berkenaan, Setiausaha Kedua (Politik) di Suruhanjaya Tinggi British, Stephen Taylor dalam ucapan pembukaan mesyuarat berkenaan telah menekankan kejayaan hubungan UK dan Brunei pada tahun 2024 dan 2025.
Antara kejayaan yang dimaksudkan termasuk Pelancaran Laporan Ekonomi Hijau UK-Brunei yang menekankan usaha bersama ke arah pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Selain itu, pameran foto yang menandakan 40 tahun persahabatan antara Brunei dan UK yang telah diadakan pada bulan Jun 2024 menunjukkan kekuatan hubungan dua hala.
Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang julung kalinya diadakan pada bulan Ramadan oleh Forum Perniagaan Brunei-UK (BBBF) sekali gus membolehkan ahli-ahli yang berugama Islam untuk turut serta sepenuhnya sambil menjalankan ibadah puasa mereka, sekali gus menunjukkan komitmen forum terhadap inklusiviti.
Mesyuarat tersebut diakhiri dengan acara bersungkai dan diikuti Majlis Makan Malam di restoran The Chef, yang terletak di kolej berkenaan.
BBBF mengucapkan terima kasih yang tulus kepada semua ahli atas sokongan dan penglibatan mereka yang tidak berbelah bahagi, sambil mengulangi dedikasinya untuk mengukuhkan hubungan perniagaan dan mempromosikan kerjasama antara Brunei dan UK.
