Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-15 bermula

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JUN – Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-15 anjuran Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah membuka tirainya dengan majlis pembukaan rasmi yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, pagi tadi.

    Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-15, yang berlangsung hingga esok itu telah dihadiri oleh perwakilan-perwakilan parlimen negara ASEAN, rakan-rakan kongsi AIPA, serta jemputan-jemputan khas terdiri dari pihak agensi kerajaan berkaitan serta perwakilan-perwakilan negara ASEAN di Negara Brunei Darussalam.

    Majlis pembukaan berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib yang sekali gus menyampaikan ucapan pembukaan.

    Yang Berhormat Pehin semasa menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan telah menekankan kepentingan tema, Strengthening ASEAN Cyber Resilience through Parliamentary Cooperation: Towards a Future of Safe and Vibrant Digital Economy sebagai usaha memperkukuh ketahanan siber dalam menyokong pertumbuhan ekonomi digital, selaras dengan visi ASEAN 2025.

    Yang Berhormat Pehin turut menambah dalam dunia yang semakin terhubung, ketahanan siber merupakan elemen penting bagi melindungi ekonomi, masyarakat, dan cara hidup masyarakat.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa menghadiri majlis pembukaan mesyuarat berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Dalam Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, Negara Brunei Darussalam telah mengenal pasti strategi, pemudah dan ukuran kejayaan bagi membangunkan ekonomi digital.

    Di samping itu, Yang Berhormat Pehin juga menekankan mengenai risiko siber yang wujud seperti ancaman serangan siber. Oleh yang demikian, kerjasama parlimen adalah penting bagi menangani ancaman dan memanfaatkan peluang bagi membangunkan ekonomi digital ASEAN melalui usaha seperti ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA) dan Peta Jalan Bandar Seri Begawan bagi memperkukuh keselamatan dan ketahanan siber.

    Manakala dalam ucapan alu-aluan ahli MMN selaku Pengerusi Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-15, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adanan bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohammad Yusof, antaranya menekankan kepentingan tema mesyuarat dalam persediaan untuk menghadapi cabaran landskap digital rantau ASEAN.

    Jelas beliau, era digital menawarkan peluang besar kepada ASEAN dari penciptaan pekerjaan serta inovasi digital. Walau bagaimanapun, ancaman siber berpotensi untuk menyebabkan ketidakstabilan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

    Dalam mengiktiraf peluang dan cabaran transformasi teknologi, Negara Brunei Darussalam telah menumpukan usaha untuk memperkukuhkan lagi strategi digital inklusif bagi meningkatkan manfaat sosial dan ekonomi serta keselamatan digital dan siber.

    Akhir sekali beliau turut berharap melalui Mesyuarat AIPA CAUCUS tersebut dapat memperkukuhkan lagi kerjasama dan meneroka penyelesaian inovatif dalam kalangan ahli parlimen.

    Sementara itu, Setiausaha Agung AIPA, Puan Yang Terutama Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman turut menyampaikan ucapan semasa majlis pembukaan tersebut yang antaranya menggariskan kepentingan pertubuhan AIPA dalam merealisasikan Komuniti ASEAN.

    Puan Yang Terutama menyeru parlimen anggota AIPA untuk sentiasa berkerjasama melalui perkongsian amalan-amalan terbaik, menyelaraskan strategi, dan mencipta dasar kukuh ke arah melindungi ekonomi digital. Kerjasama ini penting dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan generasi akan datang.

    Mesyuarat diikuti dengan Sidang Pleno Pertama, yang mana agenda utama adalah berkenaan status pelaksanaan resolusi Perhimpunan Agung AIPA ke-44 di Jakarta, Indonesia pada tahun lalu.

    Perwakilan-perwakilan parlimen negara ASEAN telah berpeluang untuk mengongsikan status serta kejayaan negara masing-masing dalam melaksanakan inisiatif-inisiatif berkenaan resolusi-resolusi yang telah diluluskan.

    Kepentingan pelaksanaan resolusi itu adalah untuk memastikan resolusi dapat diterjemahkan kepada tindakan, yang akan dapat memberi manfaat kepada semua negara anggota ASEAN.

    Ahli parlimen memainkan peranan penting dalam bekerjasama rapat dengan kerajaan ke arah merealisasikan matlamat yang telah dipersetujui bersama dan membantu dalam pemantauan pelaksanaan dasar-dasar yang diluluskan sebagai penghubung utama antara rakyat dan kerajaan.

    Mesyuarat seterusnya bersidang bagi Sidang Pleno Kedua bagi membincangkan tema topik Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-15.

    Sebagai tuan rumah, Negara Brunei Darussalam menumpukan perhatian kepada tema Strengthening ASEAN Cyber Resilience through Parliamentary Cooperation: Towards a Future of Safe and Vibrant Digital Economy.

    Beberapa pembentangan telah didengar semasa Sidang Pleno Kedua oleh Timbalan Ketua Setiausaha Komuniti Ekonomi ASEAN, Satvinder Singh; Pesuruhjaya Interim, Sekuriti Siber Brunei, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis; serta wakil dari Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Dr Aladdin Dolorito Rillo.

    Pembentangan tersebut telah mengongsikan pandangan yang mendalam dan cadangan strategik untuk memperkukuhkan ketahanan siber selain meningkatkan transformasi digital.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda