BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-15 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang berlangsung selama tiga hari secara maya telah melabuhkan tirainya hari ini dengan penyerahan Pengerusi AMMTC daripada Negara Brunei Darussalam kepada kerajaan Kemboja bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir semasa majlis penutup tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara dalam kapasitinya sebagai ketua AMMTC Negara Brunei Darussalam.
Semasa majlis tersebut, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan di atas semangat kerjasama dan kesepakatan yang telah ditunjukkan oleh negara-negara anggota ASEAN, rakan-rakan dialog ASEAN dan Sekretariat ASEAN di sepanjang Negara Brunei Darussalam menjadi pengerusi AMMTC dan pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Seterusnya Yang Berhormat Pehin berkata di antara deliverables utama yang telah dipersetujui oleh Mesyuarat AMMTC kali ini adalah ASEAN Declaration on Combating Transnational Crime Post COVID-19 dan ASEAN Border Cooperation Roadmap.
Kedua-dua deliverables tersebut bertepatan dengan hasrat Negara Brunei Darussalam selaku pengerusi ASEAN pada tahun 2021 untuk mendukung usaha-usaha pemulihan serantau di era pasca COVID-19 nanti, selaras dengan tema ‘We Care, We Prepare, We Prosper’.

Ucapan balas daripada pihak kerajaan Kemboja telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Kemboja, Tuan Yang Terutama Samdech Krolahom Sar Kheng, selaku ketua AMMTC Kemboja. Kemboja akan mengambil alih selaku pengerusi AMMTC secara rasminya pada 1 Januari 2022 nanti.
Sebelum acara penyerahan pengerusi tersebut, Yang Berhormat Pehin juga turut berkesempatan untuk mempengerusikan Mesyuarat AMMTC Plus Three kali ke-11 yang telah disertai oleh negara-negara ASEAN dan rakan-rakan dialog Plus Three iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea yang buat julung kalinya bersidang secara maya.
Semasa mesyuarat tersebut, menteri-menteri dan ketua-ketua delegasi dari negara-negara ASEAN dan negara-negara Plus Three telah membincangkan mengenai peluang-peluang kerjasama serantau dan antarabangsa bagi menangani isu-isu jenayah rentas sempadan, khususnya di bawah rangka ASEAN Plus Three Cooperation Work Plan 2018-2022.
Mesyuarat juga telah meluluskan Kenyataan Bersama (Joint Statement) bagi Mesyuarat AMMTC Plus Three kali ke-11.
Selain itu, mesyuarat-mesyuarat lain yang berlangsung pada hari ini adalah Mesyuarat AMMTC+ Republik Rakyat China Kali ke-8, Mesyuarat AMMTC+ Jepun ke-6 dan Mesyuarat AMMTC+ Republik Korea kali ke-2, dalam mana negara-negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog ASEAN telah bersetuju untuk mengguna pakai Kenyataan-Kenyataan Bersama bagi mesyuarat-mesyuarat tersebut.
Turut menghadiri majlis penutup mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Dato Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu, selaku ketua delegasi Negara Brunei Darussalam; dan Timbalan Setiausaha
Tetap (Keselamatan, Penguat-kuasaan dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri, Hajah Nor Hashimah binti Haji Mohd Taib serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri.