Tuesday, March 4, 2025
27.2 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

Mesyuarat ASCC kukuh kerjasama

Oleh Yusrin Junaidi –

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Mesyuarat ke-31 Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) yang telah diadakan pada 23 hingga 24 Mac di Luang Prabang, Laos, bertukar-tukar pandangan berkaitan hala tuju strategik Tonggak ASCC, terutama perkembangan pembentukan ASCC Post-2025 Strategic Plan yang dibentangkan oleh menteri-menteri ASCC.

Mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad yang menekankan kepentingan peranan budaya dan kesenian ASEAN dalam memanfaatkan potensi budaya dalam pembangunan ASEAN, dengan memperkasa perusahaan budaya yang didorong oleh masyarakat yang juga akan membuka kunci inovasi dan kreativiti sekali gus memberi manfaat kepada ASEAN.

Mesyuarat yang bertemakan Enhancing Connectivity and Resilience dipengerusikan oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Pelancongan Republik Demokratik Rakyat Laos, Puan Yang Terutama Suanesavanh Vignaket, selaku Pengerusi Majlis ASCC tahun 2024, dan turut dihadiri oleh para Menteri ASCC atau wakil, dan Setiausaha Agung ASEAN. Mesyuarat juga dihadiri oleh Timor-Leste selaku pemerhati.

Mesyuarat ke-31 Majlis ASCC didahului oleh mesyuarat ke-2 Ad-Hoc Working Group to Develop ASCC Post-2025 Strategic Plan dan mesyuarat ke-36 Komiti Pegawai Kanan ASCC (SOCA) yang telah diadakan pada 21 hingga 23 Mac.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan turut menghadiri ASCC Council’s Interface bersama menteri-menteri badan sektoral ASCC Laos bagi ASEAN Community Vision 2045, yang mana mesyuarat ke-31 Majlis ASCC mengambil maklum mengenai pandangan dan cadangan menteri-menteri tersebut.

Pada penghujung mesyuarat, menteri-menteri ASCC menghargai kejayaan dalam pembangunan dan pelancaran sistem ASCC Database for Monitoring and Evaluation (ADME), yang menggariskan peranan penting data berasaskan bukti dalam pembentukkan dasar ASCC, perancangan dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif, serta mengukuhkan lagi perkongsian dan kerjasama.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan telah disertai para pegawai kanan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi hadir semasa mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN
GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KEBUDAYAAN, BELIA DAN SUKAN

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda