Saturday, September 14, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat ASED medan bincang transformasi pendidikan digital

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OGOS –  Negara Brunei Darussalam komited mentransformasikan pendidikan melalui inisiatif digital dengan Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam telah melancarkan Pelan Transformasi Digital 2023-2027 yang menumpukan kepada tiga bidang utama iaitu Teknologi Pendidikan, Pengurusan Teknologi serta Pelaksanaan Dasar dan Infrastruktur.

    Pelan berkenaan menyokong matlamat negara untuk menjadi negara pintar dan sejajar dengan visi Wawasan Brunei 2035, jelas Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dalam kenyataannya semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan ASEAN ke-13 (ASED) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Wilayah Buriram, Thailand pada 25 Ogos lalu.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa menghadiri mesyuarat berkenaan.

     Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah seterusnya menggariskan usaha-usaha Kementerian Pendidikan dalam meningkatkan literasi digital termasuk menaik taraf infrastruktur IT, mewujudkan bilik darjah SMART, mengadakan bengkel pembangunan profesional bagi guru-guru serta menerbitkan buku Garis Panduan Blended Learning.

    Gambar ramai Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah dan Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bersama sebahagian peserta mesyuarat berkenaan. – GAMBAR- GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, Mesyuarat ASED ke-13 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Thailand selaku pengerusi dengan kerjasama pihak Sekretariat ASEAN dan dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan dari Republik Demokratik Rakyat Laos, Republik Kesatuan Myanmar dan Republik Filipina.

    Manakala timbalan-timbalan menteri pendidikan dari Republik Singapura dan Republik Sosialis Vietnam serta pegawai-pegawai kanan dari kerajaan Kemboja, Republik Indonesia dan Malaysia hadir sebagai wakil negara masing-masing. Timbalan Menteri Pendidikan Timor-Leste juga menghadiri mesyuarat berkenaan sebagai pemerhati. Mesyuarat itu juga melibatkan penyertaan daripada rakan dialog ASEAN.

    Mesyuarat yang dirasmikan oleh Tuan Yang Terutama Police General Permpoon Chidchob itu dihadiri oleh menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri dan pegawai-pegawai kanan dari semua negara anggota ASEAN bersama wakil daripada rakan dialog ASEAN.

    Upacara pembukaan mesyuarat berkenaan menyaksikan beberapa persembahan oleh pelajar-pelajar dari Buriram dan turut dihadiri oleh 10,000 orang guru dari Thailand.
    Dengan membawa tema, Mentransformasikan Pendidikan dalam Era Digital, ketua-ketua delegasi dari negara anggota ASEAN berpeluang mengongsikan keutamaan dan strategi pendidikan masing-masing, khususnya dalam konteks transformasi pendidikan melalui inisiatif-inisiatif digital.

    Sebelum mesyuarat di peringkat menteri bersidang, mesyuarat peringkat pegawai kanan telah diadakan dari 23 hingga 24 Ogos, di mana Negara Brunei Darussalam pada mesyuarat berkenaan diwakili oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan disertai oleh beberapa orang pegawai dari Kementerian Pendidikan.

    Semasa mesyuarat itu, pegawai-pegawai kanan pendidikan ASEAN membincangkan isu-isu pendidikan serantau semasa dan menyemak kemajuan pelan kerja, inisiatif-inisiatif dan aktiviti-aktiviti di bawah sektor pendidikan.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati telah mengemas kini perkembangan semasa aktiviti yang diterajui Kementerian Pendidikan di bawah Pelan Kerja Pendidikan ASEAN 2021-2025.
    Selain mesyuarat, delegasi Kementerian Pendidikan juga berpeluang mengadakan lawatan ke dua buah sekolah di Wilayah Buriram.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda