Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV – Dalam memastikan sistem perlindungan sosial yang inklusif dan berdaya tahan, adalah amat penting untuk memperkukuhkan kerjasama serantau.
Penekanan itu dibuat oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), merangkap Ahli Lembaga Pengarah Tabung Amanah Pekerja (TAP), Awang Salminan bin Haji Burut, dalam ucapannya di Majlis Pembukaan Mesyuarat Lembaga Pertubuhan Keselamatan Sosial ASEAN (ASSA) ke-42, yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Turut hadir semasa majlis pembukaan ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), ahli-ahli Lembaga Pengarah TAP, ahli-ahli Komiti Lembaga TAP serta wakil-wakil institusi negara anggota ASEAN.
Dalam ucapannya lagi, Awang Salminan menegaskan bahawa cabaran sebenar bagi institusi keselamatan sosial bukanlah teknologi itu sendiri, tetapi bagaimana mengurus transformasi digital dengan berkesan serta memanfaatkan peluang yang ada.
Beliau turut menambah bahawa usaha berterusan kerajaan Negara Brunei Darussalam melalui Pelan Tindakan Sosial Brunei dan Wawasan Brunei 2035 menggambarkan komitmen jangka panjang negara untuk membina masa depan yang terjamin dan mampan bagi semua rakyat, disokong oleh institusi seperti TAP yang terus memperkasakan inovasi dan keterangkuman dalam bidang keselamatan sosial.


Terdahulu, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Presiden dan Pengurus Besar Sistem Insurans Perkhidmatan Kerajaan (GSIS) Filipina, Jose Arnulfo A. Veloso, selaku Pengerusi ASSA bagi penggal 2024–2025.
Selesai majlis pembukaan, beberapa sesi plenari telah diadakan dengan menampilkan pembentang-pembentang jemputan, antaranya ialah Pembangunan Sosial Seluruh Negara: Memperkukuhkan Asas Keselamatan Sosial melalui Pelan Tindakan Sosial yang disampaikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan beberapa topik dibincangkan seperti memperkukuh perlindungan sosial melalui pendekatan seluruh negara, membina skim persaraan yang mampan, peranan kecerdasan buatan dalam penjagaan kesihatan bagi masyarakat menua, serta perkongsian amalan terbaik global oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).
Pada sebelah petang, sesi diteruskan dengan perkongsian amalan-amalan terbaik berkaitan keselamatan sosial oleh negara-negara ahli ASSA.
Mesyuarat Lembaga ASSA ke-42 membawa tema, Kemajuan Kolektif – Reformasi Transformatif Ke Arah Masa Depan yang Terjamin untuk Semua, yang menekankan kepentingan perpaduan dan perkongsian pengetahuan antara institusi keselamatan sosial ASEAN bagi memperkukuh daya tahan dan memastikan tiada pihak yang ketinggalan.
Mesyuarat yang dihoskan oleh TAP, dihadiri lebih 160 peserta terdiri daripada wakil-wakil institusi ahli ASSA, pertubuhan antarabangsa serta tetamu jemputan.
Acara dua hari itu berakhir esok, dengan berlangsungnya Mesyuarat Lembaga ASSA ke-42, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial ASEAN melalui semangat kerjasama dan matlamat bersama.

