Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASSC) memainkan peranan penting dalam memastikan Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASG) berjalan dengan lancar, efisien dan selaras dengan nilai-nilai yang membimbing ASSC.
Kepakaran dan kepimpinan para delegasi yang menyertai mesyuarat berkenaan menjadi tulang belakang bagi usaha ASEAN untuk memupuk kecemerlangan, semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan belia kita.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-14, dalam ucapan alu-aluannya di Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan ASSC ke-58 bagi ASG ke-14 Tahun 2025 yang berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan dan Sukan, Republik Demokratik Rakyat Laos, Kingmano Phommahaxay selaku Presiden ASSC yang juga disertai oleh wakil dan ahli jawatankuasa dari 10 buah negara ASEAN yang menyertai ASG ke-14.
Mesyuarat berkenaan membincangkan mengenai beberapa perkara iaitu Laporan Persediaan Kejohanan ASG ke-15 Tahun 2026 oleh tuan rumah, Indonesia serta pengesahan Kalendar Acara Penentuan Tuan Rumah bagi Kejohanan ASG bagi tempoh tahun 2026-2030.
ASSC telah ditubuhkan pada 1978 dan antara penganjuran terbesar di bawah naungannya ialah Kejohanan ASG yang pertama kali dianjurkan pada 2009 di Thailand.
Penubuhan ASSC bertujuan untuk memupuk kerjasama lebih erat dalam kalangan pelajar sekolah di negara-negara ASEAN, memacu kemajuan sosial melalui jaringan kerjasama dalam bidang sukan, menggalakkan kerjasama dan komunikasi yang lebih aktif dalam pembangunan sukan, menyumbang kepada keamanan dan kestabilan rantau ASEAN, melahirkan atlet elit masa hadapan di rantau ASEAN serta mendukung dasar negara anggota ASEAN ke arah pembentukan masyarakat yang sihat melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan.



