Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Bahiyah Bakir
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Tahun ini, Negara Brunei Darussalam menghoskan Mesyuarat Kumpulan Kerja Sektoral ASEAN Mengenai Ternakan (ASWGL) ke-25 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 29 April.
Perasmian mesyuarat yang diadakan di Bilik Mesyuarat Permai, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan itu telah disempurnakan oleh Pengarah Pertanian dan Agrimakanan, Hajah Aidah binti Haji Mohd Hanifah.
Dalam ucapan alu-aluannya, Hajah Aidah menjelaskan bahawa di bawah inisiatif utama dan pencapaian ASWGL, dengan sokongan daripada Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan – Menteri-menteri ASEAN bagi Pertanian dan Perhutanan (SOM-AMAF) dan Menteri-menteri ASEAN bagi Pertanian dan Perhutanan (AMAF), badan berkenaan terus mengiktiraf impak sosioekonomi yang ketara daripada penyakit haiwan serta perkembangan dan pelaksanaan rangka kerja strategik dan mekanisme di peringkat kebangsaan dan serantau.
Beliau melahirkan harapan supaya negara-negara ASEAN akan terus berusaha keras dalam bekerjasama untuk masyarakat ASEAN yang lebih selamat dan lebih makmur dengan mengambil kira sokongan dan komitmen politik.
“Usaha tersebut diperkukuhkan lagi melalui kerjasama dan perkongsian yang berterusan dengan rakan dialog dan rakan pembangunan.


“Saya percaya bahawa mesyuarat ini tidak akan hanya memberi peluang untuk berkongsi dan mengemas kini pencapaian dan aktiviti rangkaian sejak beberapa tahun lalu, sebaliknya, memudahkan keputusan yang perlu dibuat untuk memajukan agenda ASWGL dan menjalin perkongsian baru melalui projek-projek yang berkaitan di rantau ini ke atas ternakan,” tambahnya lagi.
Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh delegasi-delegasi negara anggota ASEAN dan pegawai-pegawai kerajaan dari Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, Sekretariat ASEAN, Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).
Ia merupakan acara tahunan sebagai sebuah badan di bawah inisiatif utama ASEAN untuk perkembangan ternakan, penyakit dan ancaman haiwan terhadap kesihatan manusia melalui penyakit zoonotic.