Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – ASEAN bukan hanya sekadar rantau pertumbuhan ekonomi yang dinamik dan kaya dengan kepelbagaian budaya tetapi ia juga merupakan penjaga kolektif sumber-sumber hutan yang banyak.
Hutan tropika di rantau kita, dengan peranan pentingnya dalam menyediakan hasil hutan yang berharga, berfungsi sebagai habitat untuk kepelbagaian pelbagai flora dan fauna serta memulihara sumber genetik yang jarang dan berharga, merupakan tanggungjawab bersama.
Dalam hubungan itu, kerjasama menerusi Kumpulan Kerja ASEAN bagi Pengurusan Hutan (AWG-FM) menunjukkan keazaman kolektif kita untuk melindungi sumber-sumber penting berkenaan serta juga merupakan bukti kepada peranan penting yang dimainkan oleh rantau ASEAN dalam pengurusan hutan global.
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Dayang Noralinda binti Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya di Majlis Pembukaan Mesyuarat AWG-FM ke-20 yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau menyatakan di Negara Brunei Darussalam, pengurusan hutan mampan adalah kritikal bagi perlindungan alam sekitar dan pembangunan negara.
“Kami komited sepenuhnya untuk memelihara sumber hutan kami yang berharga dan memastikan bahawa sebahagian besar tanah kami diuruskan secara mampan,” ujar beliau.
Dedikasi itu, tambahnya, menyokong pembangunan sosio-ekonomi, memulihara biodiversiti dan menyumbang kepada usaha global menangani perubahan iklim di mana kesemua selaras dengan Dasar Hutan Kebangsaan kita.
Mengulas mengenai Mesyuarat AWG-FM ke-20, Dayang Noralinda berkata di bawah payung ASEAN, kita harus bekerjasama untuk menangani isu-isu seperti kehilangan biodiversiti, suhu ekstrem dan ketidakstabilan sosio ekonomi di mana peranan AWG-FM adalah amat penting dalam konteks ini.
Tindakan kita, ulasnya, mempunyai kesan global dan kita berada di barisan hadapan dalam menangani isu-isu yang mendesak berkenaan.
Beliau seterusnya berkata seperti dimaklumi, Pelan Tindakan ASEAN bagi Pengurusan Hutan (2021-2025) akan berakhir pada tahun ini dan oleh itu, mesyuarat berkenaan menyediakan sebuah platform yang bertepatan untuk menilai perkembangan pelan tindakan, berkongsi pengajaran yang dipelajari, menilai pencapaian kita serta menyelaraskan tindakan akan datang.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru supaya merebut peluang yang ada bagi mengesahkan semula pendirian ASEAN terhadap isu-isu utama perhutanan dalam forum global dan meneroka bidang-bidang baru muncul seperti pembangunan ekonomi berasaskan hutan dan kerjasama merentas sektor.
Mesyuarat yang dihoskan dan dipengerusikan oleh Jabatan Perhutanan diadakan selama dua hari bermula hari ini hingga 23 Julai di mana ia akan dihadiri seramai 54 peserta yang mewakili negara-negara anggota ASEAN dengan Timor-Leste sebagai pemerhati, Sekretariat ASEAN dan wakil-wakil daripada rakan kongsi ASEAN, Asian Forestry Cooperation Organization (AfoCO), European Firest Institute (EFI), Technical Assistance Facility to the Green Team Europe Initiatives (TAF-GTEI), International Tropical Timber Organization (ITTO), Mission of Japan to ASEAN, United Kingdom- Foreign, Commonwealth and Development Office (UK-FCDO), GIZ dan Economic, Research Institute for ASEAN and East Asia (ERIA).
Semasa sesi tertutup berkenaan, pengerusi yang baharu iaitu Pemangku Pengarah Perhutanan, Negara Brunei Darussalam, Awang Reni bin Haji Yahya menyampaikan ucapannya.
Mesyuarat membincangkan panduan dasar serantau dan pembangunan ke arah pengurusan hutan mampan termasuk aktiviti-aktiviti utama yang telah dilaksanakan bagi 2025-2026 di bawah Pelan Tindakan bagi Kerjasama ASEAN bagi Pengurusan Hutan 2021-2025.
Pelaksanaan pelan kerja bagi mengukuhkan Forest Law Enforcement and Governance (FLEG) juga dibincangkan semasa mesyuarat berkenaan.
Mesyuarat menjadi sebuah platform bagi setiap negara anggota ASEAN untuk melaporkan mengenai pelaksanaan Pengurusan Hutan Mampan (SFM) di negara masing-masing.