Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bersama USABC kukuhkan hubungan perniagaan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, petang ini menghadiri mesyuarat bersama pihak US-ASEAN Business Council (USABC), yang diketuai oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif USABC, Ted Osius, bertempat di JPM.

    Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Pehin dalam ucapan alu-aluannya menekankan bahawa USABC memainkan peranan yang penting dalam mengukuhkan hubungan perniagaan antara rantau ini dan Amerika Syarikat (AS), yang menyumbang dengan signifikan kepada pembangunan ASEAN.

    Tambahan lagi, penglibatan aktif ahli-ahli USABC boleh menjadi transformatif ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035 dengan memacu kemajuan dalam bidang-bidang utama, memupuk inovasi dan mendukung pembangunan mampan.

    Ke arah itu, Brunei Darussalam kekal komited untuk memastikan persekitaran yang stabil dan berkembang maju bagi perniagaan-perniagaan AS dan seterusnya mengalu-alukan perkongsian pengalaman dan pengetahuan industri bagi mendukung pembangunan ekonomi serantau dan meningkatkan taraf kehidupan.

    Mesyuarat tersebut, antara lainnya juga membincangkan mengenai langkah-langkah untuk memperdalamkan lagi kerjasama dan meneroka peluang-peluang kerjasama baharu di antara kedua-dua belah pihak dalam bidang-bidang berkepentingan bersama termasuk transformasi dan peralihan tenaga, teknologi keselamatan baharu, pertahanan dan strategi digital.

    Juga hadir semasa mesyuarat tersebut ialah Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Dato Seri Paduka Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Setiausaha Tetap, Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Sekuriti dan Undang-undang) di JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali.

    Turut hadir adalah Duta Besar Istimewa dan Mutlak AS ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R McClelland serta delegasi USABC yang terdiri daripada wakil-wakil daripada syarikat-syarikat perniagaan AS dari pelbagai sektor, termasuk Boeing, Steadfast Entities, Atmo, Zuellig Pharma dan I Squared Capital.

    Delegasi USABC berada di negara ini dari 6 hingga 7 Ogos bagi lawatan 2024 Brunei Business Mission, yang bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama di antara sektor kerajaan dan swasta bagi mendukung keutamaan-keutamaan Negara Brunei Darussalam di bawah Wawasan Brunei 2035, Digital Economy Masterplan 2025, dan Economic Blueprint.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa bersua muka bersama Tuan Yang Terutama Ted Osius.
    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua menghadiri mesyuarat bersama pihak USABC yang berlangsung di JPM. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN PENERANGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda