Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang acara Hari Keputeraan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Penglibatan seluruh rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam dalam memeriahkan lagi Sambutan-sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam jelas mencerminkan rakyat dan penduduk di negara ini hidup bersama secara harmoni tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama.

    “Tidak lupa jua penglibatan golongan generasi muda termasuk penuntut-penuntut sekolah merupakan lambang pengukuhan jati diri dan semangat kebangsaan yang menjadi teras kemajuan dan pembangunan Negara Brunei Darussalam pada masa ini dan juga masa akan datang.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan semasa Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 bagi 2024 yang berlangsung di Dewan Serba guna, Tingkat 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), hari ini.

    Mesyuarat dipengerusikan bersama oleh Yang Berhornat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua,

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku pengerusi-pengerusi bersama jawatankuasa kebangsaan berkenaan.

    Hadir ke mesyuarat berkenaan ialah Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin.

    Turut hadir ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai daerah, pemangku pegawai-pegawai daerah dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa kebangsaan.

    Mesyuarat itu membincangkan laporan persediaan acara-acara sambutan perayaan antaranya ialah Upacara Pengibaran dan Penu-runan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam; Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak Berjemaah, Membaca Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran; Istiadat Barisan Kehormatan; Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-bintang Kebesaran dan Pingat-pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam; Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di keempat-empat daerah; Majlis Khatam Al-Quran 78 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan
    Kampung serta Penuntut-penuntut Sekolah dan Institusi-Iinstitusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara; Riadah Berbasikal Keputeraan 2024 serta Majlis Ilmu.

    Mesyuarat telah dipengerusikan bersama oleh menteri-menteri kabinet. Turut hadir ialah YAM Grand Chamberlain. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Antara ahli jawatankuasa yang terlibat dalam Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda