Thursday, February 6, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang agenda, resolusi WHA

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 FEB – Menteri-menteri kesihatan dan wakil-wakil dari beberapa buah negara ahli Lembaga Eksekutif (EB) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menghadiri Mesyuarat Eksekutif sesi ke-156 yang berlangsung di Geneva, Switzerland bermula 3 hingga 11 Februari.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, Delegasi Negara Brunei Darussalam ke mesyuarat berkenaan diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

    Beliau disertai oleh Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan beberapa orang pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan dan Perwakilan Tetap

    Negara Brunei Darussalam ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Geneva, Switzerland.
    EB WHO terdiri daripada 34 negara ahli yang dilantik mewakili ke enam rantau WHO untuk penggal tiga tahun.

    Mesyuarat-mesyuarat EB diadakan dua tahun sekali iaitu yang pertama pada awal tahun bagi membincangkan dan bersepakat mengenai agenda-agenda serta resolusi dan keputusan yang akan dipertimbangkan oleh Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) untuk tahun berkenaan.

    Manakala mesyuarat kedua berlangsung setiap Mei-Jun iaitu menyu-sul kepada selesainya sesi WHA di mana ia berfungsi untuk melaksanakan keputusan dan dasar WHA yang telah pun diluluskan dan juga memberikan panduan bagi memudahkan kerja WHO secara amnya.

    Semasa persidangan WHA77 pada 2024, Negara Brunei Darussalam telah pun diterima untuk menjadi ahli EB selaku salah satu wakil negara-negara ahli dari Rantau Pasifik Barat WHO untuk terma tiga tahun dari 2024-2027.

    Mesyuarat EB156 telah pun meneliti agenda-agenda am termasuk Laporan Ketua Pengarah WHO, Laporan Jawatankuasa-jawatankuasa Serantau ke EB dan Laporan Jawatankuasa Program, Belanjawan dan Pentadbiran EB, pengurusan dan tadbir urus, pembiayaan dan pelaksanaan peruntukkan/belanjawan program bagi tahun kewangan 2024-2025 serta cadangan peruntukan/belanjawan bagi tahun 2026-2027.

    Selain itu, sesi mesyuarat juga membincangkan agenda-agenda pentadbiran dan teknikal yang dibincangkan di bawah beberapa tunggak yang mana beberapa cadangan resolusi dan keputusan juga telah diteliti untuk dibincangkan dan dipertimbangkan
    nanti semasa WHA78 pada Mei nanti.

    Beberapa draf resolusi dan keputusan telah dibentangkan semasa Sesi EB156 untuk diteliti dan dipertimbangkan di WHA78 yang mana Negara Brunei Darussalam telah menyokong sama satu resolusi yang dicadangkan oleh Malaysia iaitu Promoting and Prioritizing Integrated Lung Health Approach.

    Semasa di Geneva, Yang Berhormat Dato juga berkesempatan mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Kesihatan Maldives, Tuan Yang Terutama Abdulla Nazim Ibrahim mengenai kerjasama bidang kesihatan yang berkepentingan di antara kedua-dua buah negara dan serantau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda