Sunday, December 29, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang cabaran tenaga semasa

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Tenaga ASEAN (AMEM) ke-42 dan Mesyuarat-mesyuarat yang Berkaitan Dengannya di Pusat Konvensyen Nasional, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos.

    Menurut kenyataan JPM, di sini, Yang Berhormat Pehin merupakan menteri yang bertanggungjawab ke atas tenaga dan turut diiringi oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Haji Rosli bin Haji Yacub; Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Hajah Farida binti Dato Seri Paduka Haji Talib selaku Ketua Pegawai Kanan Tenaga ASEAN bagi Negara Brunei Darussalam dan pegawai-pegawai dari Jabatan Tenaga di JPM.

    Mesyuarat dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN (AEBF) selama dua hari dan berakhir hari ini telah dirasmikan bersama oleh Menteri Tenaga dan Perlombongan Laos, TYT Phosay Sayasone selaku pengerusi AMEM dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga merupakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), TYT Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof selaku timbalan pengerusi AMEM.

    Dialog perbincangan dengan Timbalan Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) dan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA) juga diadakan bersempena dengan AMEM ke-42.

    Mesyuarat juga telah mengalu-alukan kehadiran Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor Leste sebagai pemerhati.

    Gambar ramai menteri-menteri pada mesyuarat tersebut. – GAMBAR SERAHAN JPM
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi semasa menghadiri AMEM ke-42 di Pusat Konvensyen Nasional, Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos. – GAMBAR SERAHAN JPM

    Dengan membawa tema, ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience, AMEM menekankan kepentingannya sebagai landasan untuk memastikan bahawa usaha-usaha kolektif ASEAN dalam mengukuhkan Komuniti ASEAN bagi merebut peluang dan menangani cabaran semasa dan yang akan datang dapat dilaksanakan dengan berkesan.

    Ia juga bertanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) berperanan penting dalam memacukan keselamatan tenaga, kebolehcapaian, kemampuan dan kemapanan di dalam ASEAN.

    Mesyuarat juga menekankan kemajuan dalam membangunkan APAEC Pasca-2025 yang merujuk kepada Pelan Strategik AEC 2026-2030 yang menekankan kepentingan untuk mencipta pelan sektoral bagi menangani cabaran-cabaran tenaga yang berkembang di rantau ini dan mega trend global.

    Mesyuarat itu juga mengambil maklum akan kepentingan perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan terutamanya negara-negara anggota ASEAN, rakan kongsi dialog dan organisasi antarabangsa dalam memastikan bahawa APAEC Pasca-2025 mencerminkan pelbagai perspektif dan keutamaan.

    Dalam pada itu, mesyuarat berkenaan turut menyokong tema bagi APAEC 2026-2030 iaitu Advancing Regional Cooperation in Ensuring Energy Security and Accelerating Decarbonisation for a Just and Inclusive Energy Transition.

    Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan mengadakan sesi rangkaian dengan ketua perwakilan lain dari negara anggota ASEAN, termasuk TYT Phosay Sayasone dan Menteri Petroleum dan Sumber Mineral Timor Leste, TYT Francisco Da Costa Monteiro.

    Mesyuarat peringkat menteri itu juga telah mengadoptasi Kenyataan Bersama AMEM ke-42 dan juga Kenyataan Bersama AMEM + 3 ke-21.

    Selain itu, mesyuarat turut menyaksikan berlangsungnya beberapa mesyuarat peringkat menteri yang berkaitan iaitu sesi dialog antara menteri-menteri tenaga ASEAN dan IEA dan IRENA, AMEM +3 ke-21 serta Mesyuarat Kemuncak Asia Timur Menteri-menteri Tenaga ASEAN ke-18 yang telah dipengerusikan oleh Laos.

    AMEM ke-43 seterusnya akan diadakan di Malaysia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda