Sunday, September 22, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang dasar persaingan, perlindungan pengguna

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD), Dayang Nik Hafimi binti Abdul Haadii baru-baru ini telah mengambil bahagian dalam Mesyuarat Ketua Agensi Persaingan ke-2 yang diadakan di Brisbane, Australia.

    Mesyuarat yang memuatkan beberapa perbincangan panel itu bertujuan untuk memudahkan dialog peringkat tinggi antara rakan kongsi Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA) mengenai isu semasa yang dihadapi oleh agensi-agensi persaingan di peringkat strategik.

    Dianjurkan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC), mesyuarat berkenaan merupakan salah satu siri aktiviti di bawah Program Pelaksanaan Perundangan Persaingan (CLIP) AANZFTA Fasa 5.

    Turut hadir ialah wakil suruhanjaya serta kakitangan kanan dari kesemua 10 agensi persaingan ASEAN, Australia dan New Zealand.

    Dayang Nik Hafimi berkongsi pengalaman dan pandangan beliau dalam dua sesi panel bertajuk ‘Tugas Ahli Suruhanjaya dan Kepentingan Mewujudkan Hubungan Kerja yang Berkesan antara Agensi Persaingan dan Kerajaan’.

    Sesi panel lain membincangkan beberapa topik yang menyentuh mengenai, antara lainnya, penggunaan dasar persaingan dan perlindungan pengguna sebagai alat dalam menangani isu kos sara hidup, pendekatan menangani perusahaan kecil dan sederhana (PKS), cabaran yang dihadapi pengawal selia berkaitan dengan platform digital dan keseimbangan antara persaingan serta kemampanan.

    Melalui pertukaran pengetahuan dan maklumat yang interaktif, peserta dapat meningkatkan pembelajaran mereka dan memperoleh pemahaman yang lebih mendalam antara satu sama lain, yang akan memudahkan pembentukan hubungan penting di rantau ini, menggalakkan kerjasama, bantuan bersama dan kemajuan dalam amalan dan proses persaingan antarabangsa.

    Mesyuarat dua hari itu disusuli dengan Bengkel Penetapan Keutamaan Penguatkuasaan, yang menyediakan panduan kepada peserta untuk menetapkan keutamaan secara berkesan terutama dalam situasi di mana agensi menghadapi sumber yang terhad.

    Dayang Nik Hafimi semasa mengambil bahagian dalam Mesyuarat Ketua Agensi Persaingan ke-2 yang diadakan di Brisbane, Australia.- Gambar serahan CCBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda