Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 DIS – Negara Brunei Darussalam amat komited dan menyokong secara berterusan dalam pelaksanaan Strategi Pendidikan ASEM 2030 ke arah meningkatkan kesalinghubungan antara Asia dan Eropah.
Sokongan dan komitmen berterusan Brunei itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman semasa Sesi Meja Bulat-Komitmen Menteri dan Pihak Berkepentingan Menyokong Strategi Pendidikan ASEAN 2030 semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Pendidikan Asia-Eropah kali ke-8 (ASEMME8) yang berlangsung secara maya, kelmarin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini, menyatakan bahawa mesyuarat yang diadakan dua tahun sekali itu, dianjurkan bersama oleh Kementerian Pendidikan, kerajaan Thailand dan Sekretariat Pendidikan ASEM.
Yang Berhormat Dato juga berkongsi bahawa Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam telah menubuhkan Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat sebagai mekanisme penting dalam menyediakan peluang kepada semua pelajar dalam pendidikan, latihan dan peningkatan kemahiran bagi meningkatkan kebolehpasaran generasi semasa dan yang akan datang dalam pasaran yang sentiasa berubah.
Kenyataan menyatakan bahawa mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri pendidikan dari negara anggota ASEAN dan pihak-pihak berkepentingan untuk terus berkongsi dan membincangkan inisiatif serta menyokong Strategi Pendidikan dan Pelan Tindakan ASEAN 2030 dengan mesyuarat membawa tema, ‘Pendidikan ASEAN 2030: Ke Arah Masa Hadapan yang Lebih Berdaya Tahan, Sejahtera dan Mampan’.
Dalam ucapan alu-aluannya, Menteri Pendidikan, kerajaan Thailand, Puan Yang Terutama Treenuch Thienthong menekankan kepentingan dalam mengekalkan perpaduan, perbincangan dan inisiatif antara Asia dan Eropah ke arah pembangunan ekonomi kedua-dua wilayah, terutamanya di tengah-tengah krisis kesihatan global yang berterusan.
Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa mesyuarat itu menyaksikan penelitian dan pengesahan rasmi Strategi Pendidikan dan Pelan Tindakan ASEM 2030 dan Kesimpulan Pengerusi bagi ASEMME8.
Pada mesyuarat berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah diiringi oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.
Beliau turut menghadiri Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pendidikan Asia-Eropah ke-2 (SOM2) yang juga diadakan secara maya pada 13 hingga 14 Disember lalu di mana perbincangan mengenai inisiatif-inisiatif serta Strategi Pendidikan dan Pelan Tindakan ASEM 2030 sebagai persediaan mesyuarat ASEMME8.