Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang isu imigresen, konsular

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Majlis Pembukaan Rasmi ASEAN Directors-General of Immigration Departments and Heads of Consular Affairs Divisions of the Ministries of Foreign Affairs Meeting (DGICM) ke-28 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan telah diadakan di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan pembukaan rasmi mesyuarat berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi negara-negara ASEAN, Timor-Leste, Australia, Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, setiausaha-setiausaha tetap Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), timbalan-timbalan setiausaha tetap KHEDN, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan di bawah KHEDN dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK).

    Dalam kata alu-aluannya, Pemangku Pengarah Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Haji Azmi bin Haji Abdul Rahim mengatakan perhimpunan komuniti imigresen ASEAN adalah amat penting dalam menyediakan platform untuk negara-negara anggota ASEAN berhimpun dan membincangkan mengenai isu-isu utama imigresen dan konsular yang timbul.

    Beliau menyatakan kehadiran mereka mencerminkan komitmen terhadap kerjasama serantau dan berharap pertemuan itu akan memupuk dialog penting mengenai penglibatan, pengukuhan kerjasama serta usaha kolektif untuk menangani cabaran yang berkembang.

    Haji Azmi menyampaikan ucapan alu-aluannya pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    Antara yang hadir pada Majlis Pembukaan Rasmi DGICM ke-28 dan Mesyuarat-mesyuarat berkaitan, kelmarin. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Beliau turut menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan membina usaha yang telah dilaksanakan dengan menyemak dan menilai pelaksanaan imigresen ASEAN serta dasar dan inisiatif konsular.

    “Penyelarasan ini bukan sahaja penting untuk memerangi penghijrahan haram, pemerdagangan dan penyeludupan manusia, penipuan dokumen serta jenayah terancang dan transnasional berkaitan, tetapi juga memudahkan perjalanan yang sah dan meningkatkan keselamatan serantau.”

    Mesyuarat ASEAN DGICM ke-28 merupakan mesyuarat tahunan yang dihadiri oleh ketua-ketua pengarah dan pegawai-pegawai kanan imigresen.

    Mesyuarat itu dianjurkan mengikut giliran pengendalian di antara negara-negara ASEAN dengan matlamat untuk membincangkan, menyelaras dan meningkatkan hubungan kerjasama di peringkat serantau dalam pengurusan sempadan, imigresen dan hal ehwal konsular.

    Pada 2025, JIPK menjadi tuan rumah dan seterusnya mempengerusikan Mesyuarat DGIM ke-28 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan.

    Mesyuarat memulakan perbincangan dengan sesi ASEAN Heads of Major Immigration Checkpoints Forum (AMICF) ke-8 dan Mesyuarat Heads of Specialist Unit (HSU)on People Smuggling ke-4 serta ASEAN Immigration Intelligence Forum (AIIF) ke-20 pada 12 Ogos.

    Sementara itu, Mesyuarat DGICM ke-28 yang berlangsung selama dua hari dari 13 hingga 14 Ogos itu diteruskan dengan permesyuaratan bersama rakan dialog Australia serta negara plus three iaitu Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea.

    Lebih 120 orang delegasi terdiri daripada ketua-ketua pengarah imigresen dan delegasi dari negara-negara ASEAN, termasuk Timor-Leste selaku negara pemerhati serta wakil dari Sekretariat ASEAN menghadiri mesyuarat tersebut.

    Turut hadir perwakilan dari negara Australia bagi sesi Mesyuarat DGICM +Australia Consultation ke-20 dan wakil-wakil dari Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea bagi sesi permesyuaratan DGCIM+3 Consultation ke-4.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda