Friday, May 3, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    Mesyuarat bincang isu kesihatan semasa

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar telah mengetuai delegasi Negara Brunei Darussalam ke Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi Rantau Pasifik Barat ke-74 yang berlangsung di Manila, Republik Filipina bermula 16 hingga 20 Oktober.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, turut menyertai Yang Berhormat Dato ke mesyuarat berkenaan ialah beberapa orang pegawai kanan Kementerian Kesihatan.

    Mesyuarat tahunan itu telah dihadiri oleh menteri-menteri kesihatan dan para perwakilan dari 37 buah negara anggota WHO rantau Pasifik Barat bagi membincangkan isu-isu kesihatan semasa, dasar-dasar, program-program dan hala tuju WHO bagi rantau Pasifik Barat.

    Mesyuarat juga meneliti peruntukan program dan pelaksanaan projek-projek, pemantauan perkembangan isu-isu kesihatan dan projek-projek mengikut keutamaan rantau Pasifik Barat serta menyelaras kerja-kerja yang dijalankan di rantau ini.

    Isu-isu yang dibincangkan termasuk keselamatan kesihatan, inovasi kesihatan, komunikasi bagi kesihatan dan tenaga kerja kesihatan serta laporan kemajuan bagi program-program teknikal.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham dan delegasi bergambar ramai bersama wakil dan Ketua Pejabat WHO Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Rabindra Abeyasinghe pada mesyuarat tersebut. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham telah dilantik oleh ahli-ahli negara anggota sebagai pengerusi mesyuarat jawatankuasa serantau berkenaan manakala Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah Jabatan Pemantauan, Penilaian dan Audit Dalaman, Kementerian Kesihatan Mongolia, Dr Sovd Tugsdelger telah dipilih sebagai timbalan pengerusi.

    Dalam ucaptama pengerusi, Yang Berhormat Dato mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan Republik Demokratik Rakyat Lao, Tuan Yang Terutama Bounfeng Phoummalaysith yang dilantik pengerusi sebelum ini serta merakamkan penghargaan kepada nega-ra-negara ahli atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menjalankan tugas sebagi pengerusi bagi mesyuarat berkenaan.

    Satu agenda penting dalam mesyuarat berkenaan ialah pemilihan Pengarah Serantau WHO bagi Pasifik Barat yang baharu di mana pengundian antara lima orang calon dari negara-negara ahli di rantau berkenaan telah dijalankan secara tertutup.

    Menteri Kesihatan Tonga, TYT Dr Saia Ma’u Piukala telah dilantik sebagai pengarah serantau baharu bermula 1 Februari 2024 bagi tempoh lima tahun.

    Semasa mesyuarat berkenaan, Negara Brunei Darussalam mengetengahkan keutamaan aktiviti kesediaan keselamatan kesihatan di peringkat nasional dan global serta menghargai usaha WHO dalam menyokong proses yang diterajui negara ahli untuk meneliti semula International Health Regulations 2005 (IHR) selain merundingkan satu konvensyen pandemik global yang baharu.

    Berkenaan keselamatan kesihatan, Negara Brunei Darussalam menyokong usaha dalam penyediaan draf Rangka Kerja Tindakan Keselamatan Kesihatan Asia Pasifik yang baharu dan telah menekankan kepentingan rangka kerja itu dalam mengutamakan penglibatan sektor bukan kesihatan serta pihak berkepentingan yang lain seperti sektor swasta, akademia dan masyarakat awam dalam mengamalkan pendekatan seluruh kerajaan dan masyarakat bagi memastikan ia dapat disalurkan dalam amalan-amalan serta dasar-dasar yang berkaitan.

    Berkenaan inovasi kesihatan pula, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan sokongan WHO dalam inovasi kesihatan terutamanya dalam meningkatkan pembinaan kapasiti dan memudahkan pelaksanaan inovasi.

    Brunei Darussalam telah menerapkan ekosistem di mana inovasi dan teknologi membentuk pendekatan dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan pada masa hadapan dan mengiktiraf potensi artificial intelligence (AI)-assisted point-of-care diagnostics, wearable health devices, digital therapeutics dan genomics dalam meningkatkan kualiti dan keberkesanan penyampaian penjagaan kesihatan.

    Sementara itu, dalam isu komunikasi bagi kesihatan, Negara Brunei Darussalam mengambil maklum kepentingan yang diberikan kepada alat digital dalam cadangan Rangka Kerja Tindakan Serantau mengenai Komunikasi untuk Kesihatan dan potensi penggunaan teknologi untuk meningkatkan kualiti dan liputan perkhidmatan kesihatan, meningkatkan akses kepada maklumat kesihatan serta menggalakkan perubahan positif dalam tingkah laku kesihatan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba punca ratusan ribu ikan mati

    DONG NAI, 2 MEI - Beratus ribu ikan mati dalam takungan di wilayah Dong Nai di selatan Vietnam disebabkan oleh gelombang panas dan pengurusan...