Tuesday, December 3, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang isu penggurunan tanah

    RIYADH, 2 DIS – Mesyuarat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertujuan untuk menghentikan degradasi dan penggurunan kawasan tanah yang luas diadakan di Arab Saudi hari ini selepas saintis mengeluarkan amaran keras berhubung pertanian dan penebangan hutan yang tidak mampan.

    Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyifatkan mesyuarat 12 hari untuk Konvensyen PBB Memerangi Penggurunan (UNCCD) bertujuan untuk melindungi dan memulihkan tanah serta bertindak balas terhadap kemarau akibat perubahan iklim.

    Mesyuarat terakhir sedemikian, atau Persidangan Pihak-pihak (COP) kepada konvensyen itu, yang diadakan di Ivory Coast pada 2022, menghasilkan komitmen untuk mempercepatkan pemulihan satu bilion hektar tanah terdegradasi menjelang 2030.

    Tetapi UNCCD, yang menghimpunkan 196 buah negara dan Kesatuan Eropah, kini berkata 3.7 bilion ekar mesti dipulihkan menjelang penghujung tahun untuk memerangi krisis termasuk kemarau yang semakin meningkat.

    Sehari sebelum rundingan di Arab Saudi, laporan baharu PBB memberi amaran kemusnahan hutan dan tanah terdegradasi telah mengurangkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan kehilangan biodiversiti.

    “Sekiranya kita gagal mengiktiraf peranan penting tanah dan mengambil tindakan yang sewajarnya, ia akan menjejaskan setiap aspek kehidupan dan berlanjutan hingga ke masa depan, di samping menambah kesukaran untuk generasi akan datang,” kata Setiausaha Eksekutif UNCCD, Ibrahim Thiaw, dalam laporan itu.

    Degradasi tanah mengganggu ekosistem dan menjadikan tanah kurang produktif untuk pertanian, membawa kepada kekurangan makanan dan mendorong penghijrahan.

    Tanah dianggap terdegradasi apabila produktivitinya telah terjejas oleh aktiviti manusia seperti pencemaran atau penebangan hutan. Penggurunan adalah satu bentuk degrasai yang ekstrem. – AFP

    Gambar menunjukkan sesi pembukaan UNCCD COP16, di ibu negara Saudi, Riyadh pada 2 Disember. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda