Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 DIS – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi Haji Mohamad telah menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Belia ASEAN ke-13 (AMMY XIII) dan AMMY+3 ke-9, baru-baru ini.
AMMY XIII yang membawa tema, Encouraging Youth’s Contribution Towards a Cohesive Society in ASEAN diadakan melalui sidang video dan dipengerusikan oleh Menteri Kesatuan Belia dan Sukan, Myanmar, Tuan Yang Terutama Minn Thein Zan.
Semasa mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Dato telah menggariskan beberapa perkara penting bagi menggalakkan lagi penglibatan aktif para belia dalam membina masyarakat yang bersatu padu dan memperkasa mereka untuk menyumbang kepada Komuniti ASEAN.
Beliau antaranya menyentuh mengenai sistem pendidikan berkualiti tinggi yang memainkan peranan penting dalam membina kemahiran belia bagi memanfaatkan peluang masa kini dan masa hadapan. Pendidikan yang luas, termasuk pemahaman budaya dan sejarah ASEAN, dapat membina perpaduan dan toleransi dalam masyarakat. Belia juga perlu sedar akan peranan mereka dalam menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan kemiskinan, dengan berkongsi pengalaman dan belajar antara satu sama lain.
Selain itu, Yang Berhormat Dato turut menyatakan mengenai kecekapan belia dalam menguasai teknologi seperti kecerdasan buatan dan platform inovatif memberi potensi besar untuk perubahan positif di rantau ini. Teknologi memungkinkan kerjasama global yang mempercepatkan transformasi ASEAN.
Di samping itu, dalam usaha memajukan pertumbuhan ekonomi dan inovasi, ASEAN turut menggalakkan keusahawanan belia sebagai penyelesaian terhadap pengangguran. Inisiatif seperti memperbaiki akses pasaran serantau, platform digital, pembiayaan mampan, serta sokongan bimbingan adalah penting untuk membangunkan ekosistem yang kondusif bagi keusahawanan belia, terutamanya melalui inkubasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi hal ehwal belia dan perwakilan peringkat tinggi serta Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC). AMMY XIII dan AMMY+3 ke-9 adalah platform untuk menteri dan perwakilan peringkat tinggi serta pihak berkepentingan yang berkaitan dalam bidang hal ehwal belia untuk bertukar-tukar pandangan dan membincangkan kerjasama untuk terus memperkasa belia ASEAN.
Semasa AMMY XIII, para menteri mengambil maklum perkembangan dan pencapaian pelaksanaan Pelan Kerja Belia ASEAN 2021-2025 dan menekankan peningkatan usaha dan inisiatif dalam memperkukuhkan komunikasi interaktif daripada pihak belia ASEAN.
Para menteri juga mengarahkan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN Belia (SOMY) dan Sekretariat ASEAN untuk menjalankan Kajian Penggal Akhir Pelan Kerja Belia 2021-2025, terutama impak kepada pembangunan dan pemerkasaan belia di rantau ini dan seterusnya menggesa SOMY untuk merancang Pelan Kerja Belia ASEAN Pasca 2025 yang akan mengambil kira perancangan pembangunan dan pemerkasaan belia yang lebih daya tahan.
Dalam pada itu, para menteri juga merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh rakan dialog ASEAN dan organisasi berkepentingan dalam pelaksanaan Pelan Kerja Belia AMMY+3 2021-2025, bagi melengkapkan Pelan Kerja Belia ASEAN 2021-2025, dalam menyumbang ke arah mengukuhkan persahabatan, perpaduan dan kerjasama dengan belia bersama rakan dialog.
Semasa mesyuarat berkenaan, para menteri belia ASEAN dan AMMY+3 ke-9 yang bertanggungjawab ke atas belia mengeluarkan Kenyataan Bersama bagi AMMY XIII dan AMMY+3 ke-9.
AMMY XIII dan AMMY+3 ke-9 telah dihadiri oleh menteri-menteri negara anggota ASEAN dan negara Campur Tiga yang bertanggungjawab terhadap belia, rakan kongsi dan pertubuhan perwakilan peringkat tinggi seperti Committee for ASEAN Youth Cooperation (CAYC), ASEAN Institute for Peace and Reconciliation (ASEAN-IPR), ASEAN Foundation, ASEAN Youth Forum, ASEAN Youth Organization dan Singapore Polytechnic.
Turut hadir, Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin, serta pegawai kanan KKBS.