Wednesday, July 3, 2024
23 C
Brunei

    -

    Mesyuarat bincang pelaksanaan, cabaran anti-doping

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Kementerian Sukan Republik Uzbekistan bersama Agensi Anti-Doping Kebangsaan Uzbekistan (UzNADA) dengan kerjasama Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) baru-baru ini menganjurkan Mesyuarat Peringkat Menteri Antara Kerajaan Asia dan Oceania ke-19 mengenai Anti-Doping dalam sukan yang diadakan di Tashkent, Republik Uzbekistan.

    Menyertai dalam mesyuarat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Merasmikan mesyuarat tersebut ialah Menteri Sukan Republik Uzbekistan, Tuan Yang Terutama Adikham Ikramov selaku pengerusi dan ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Penasihat kepada Presiden Republik Uzbekistan, Odil Abdurrakhmanov.

    Sebanyak 46 buah negara rantau Asia dan Ocenia telah menghadiri mesyuarat berkenaan yang diwakili oleh menteri-menteri dan perwakilan negara yang terlibat. Penyertaan ini merupakan wadah bagi negara-negara ahli untuk membincangkan peranan dan tanggungjawab sepertimana yang digariskan dalam Kod Anti-Doping Dunia, dan juga cabaran-cabaran yang dihadapi dalam pelaksanaannya.

    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, mengongsikan kedudukan dan cabaran yang dihadapi oleh Negara Brunei Darussalam dalam mematuhi peraturan dan mengikuti program-program anti-doping yang dianjurkan oleh WADA dan agensi-agensi lain yang berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bergambar ramai semasa menyertai mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    WADA telah ditubuhkan pada 1999 sebagai sebuah agensi bebas antarabangsa yang mengetuai gerakan kolaboratif di seluruh dunia ke arah sukan yang bebas dadah.

    WADA berperanan utama dalam menyediakan, mengharmonikan dan menyelaras peraturan dan dasar anti-doping yang merentasi semua sukan dan negara.

    Antara aktiviti utama yang dilaksanakan ialah penyelidikan saintifik dan sains sosial; pendidikan; risikan dan penyiasatan; pembangunan kapasiti anti-doping; dan pemantauan pelaksanaan Program Anti-Doping Dunia.

    Keahlian Negara Brunei Darussalam dalam WADA diwakili oleh Komiti Anti-Doping Brunei Darussalam (BDADC) yang telah ditubuhkan sejak 2006. Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh BDADC ialah memberikan program pendidikan anti-doping dan menjalankan ujian sampel atlet negara yang akan menyertai kejohanan sukan serantau dan antarabangsa.

    Semasa menghadiri mesyuarat tersebut, Yang Berhormat Dato juga telah berkesempatan mengadakan perjumpaan secara berasingan bersama TYT Adikham Ikramov dan juga Presiden WADA, Witold Banka.

    Antara perkara yang dibincangkan semasa perjumpaan-perjumpaan tersebut ialah pertukaran maklumat mengenai bidang kesukanan, kedudukan berkaitan anti-doping serta peluang-peluang kerjasama dalam bidang-bidang berkenaan.

    Yang Berhormat Dato disertai oleh wakil-wakil BDADC dan Pegawai-pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KKBS).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Selatan sambung latihan artileri di sempadan

    SEOUL, 2 JULAI – Korea Selatan menyambung semula latihan artileri berhampiran sempadan dengan Korea Utara pada Selasa buat kali pertama dalam tempoh enam tahun,...