Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam telah menyelaras Mesyuarat Ahli Lembaga Tadbir (GBM) Pusat Inovasi dan Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO INNOTECH) ke-68, yang berlangsung selama tiga bermula hari ini di Hotel Antarabangsa Rizqun.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis pembukaan mesyuarat berkenaan, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh dan seterusnya menyampaikan ucaptama di mesyuarat itu.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan Pengarah SEAMEO INNOTECH, Dr Leonor Magtolis Briones, yang disampaikan oleh Timbalan Pengarah SEAMEO INNOTECH, Kochakorn Khattapan Acidre selaku wakil, antara lain menggariskan salah satu perkara utama mesyuarat tahun ini ialah pembentangan Pelan Pembangunan Lima Tahun SEAMEO INNOTECH ke-11.
Beliau seterusnya menjelaskan, pelan ini dibentuk melalui pendekatan Pemikiran Masa Depan, mewakili visi yang bercita-cita tinggi dan berorientasikan masa depan untuk pusat dalam tahun-tahun yang akan datang. Selain itu, beliau turut mengongsikan visi mengenai Persidangan Antarabangsa ke-16, dengan tema Memupuk I dalam AI: Sinergi Pelbagai Sektor untuk Pendidikan Berfokuskan Manusia.
“Acara itu akan meneroka bagaimana kecerdasan buatan (AI) boleh dimanfaatkan untuk meningkatkan pendidikan sambil meletakkan kesejahteraan manusia di pusat kemajuan teknologi,” jelasnya. Melalui acara tersebut, beliau menantikan pandangan dan bimbingan tentang cara terbaik untuk berinteraksi dengan pelbagai sektor bagi mewujudkan sistem pendidikan yang bermakna dan inklusif yang mengutamakan perkembangan holistik pelajar.
Sementara itu, Pakar Dasar dan Perancangan, Sekretariat SEAMEO, Emiljohn Sentillas, dalam ucapan pembukaannya pula mengongsikan GBM ini adalah acara yang penting bagi Pusat SEAMEO di mana ianya berfungsi sebagai ruang untuk melihat pencapaian, membincangkan kemajuan program yang sedang berjalan dan meneroka inisiatif masa depan.
“Dengan menggalakkan hubungan antara Pusat SEAMEO dan Kementerian Pendidikan, kami memastikan penyelarasan dan responsif terhadap keperluan serta keutamaan yang berkembang di rantau kami,” jelasnya.
GBM tahun ini memfokuskan kepada perbincangan utama mengenai hala tuju masa depan SEAMEO INNOTECH.
Ini termasuk laporan pencapaian pusat, pengemaskinian program pendidikan, serta kemajuan dalam bidang seperti pengurusan pengetahuan, penyelidikan, pembangunan kapasiti, dan sumber manusia.
Mesyuarat tersebut menzahirkan sokongan yang berterusan dan kukuh daripada negara-negara anggota SEAMEO terhadap kerjasama serantau dan inovasi dalam pendidikan.
Perbincangan dan hasil mesyuarat juga diharap akan dapat membantu membentuk inisiatif pendidikan strategik serta menyokong matlamat dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang inovatif dan inklusif di seluruh rantau.
Mesyuarat ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dan SEAMEO INNOTECH.