Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Ahli Jawatankuasa Majlis Perundingan Mukim (MPM) Kota Batu telah menggariskan beberapa aktiviti dan membincangkan program-program kemasyarakatan semasa mesyuarat yang diadakan di Bilik Muzakarah, Sekolah Rendah Pintu Malim, Jalan Kota Batu baru-baru ini.
Mesyuarat yang diadakan kali kedua dan dipengerusikan oleh Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Rasli bin Taram tersebut membincangkan penganjuran acara Suka Ria Semukim yang dijangka diadakan pada penghujung tahun ini.
Ahli jawatankuasa mesyuarat juga meneliti cadangan untuk memberi penghargaan kepada pelajar-pelajar mukim yang cemerlang dalam peperiksaan PSR menerusi Majlis Penganugerahan Pelajar Cemerlang 2024.
Aktiviti-aktiviti dan program kemasyarakatan yang diaturkan semasa mesyuarat itu dihasratkan dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan mukim berkenaan.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang, dan Kampung Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Zaini bin Haji Damit yang juga selaku Setiausaha Kedua MPM Kota Batu.