Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang perkembangan ATB

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dengan kerjasama Institut Kewangan Mampan Asia (SFIA) telah menghoskan Mesyuarat Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) ke-4, 2024 yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, BDCB menyatakan bahawa mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah Urusan, Operasi Monetari, Pembangunan dan Antarabangsa, BDCB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman dan dihadiri oleh ahli-ahli ATB dari BDCB, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, Autoriti Monetari Singapura, Kementerian Kewangan dan Perancangan Myanmar, Suruhanjaya Pertukaran dan Sekuriti Filipina, Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Laos, Bank Republik Demokratik Rakyat Laos, Kementerian Kewangan dan Ekonomi Kemboja serta Bank Nasional Kemboja.

    Turut hadir ialah wakil-wakil dari SFIA selaku hos bagi ATB. Di samping itu, wakil-wakil ATB dari Otoritas Jasa Keuangan, Indonesia dan Suruhanjaya Sekuriti Vietnam telah menghadiri mesyuarat berkenaan secara maya.

    Mesyuarat itu menyediakan peluang bagi ATB untuk membincangkan mengenai perkembangan Taksonomi ASEAN Versi 3, yang telah diterbitkan pada 27 Mac 2024 di mana penerbitan itu menandakan satu peristiwa signifikan dalam pembangunan taksonomi menyeluruh serantau untuk memajukan amalan kewangan mampan.

    Berikutan dengan mesyuarat berkenaan, BDCB dengan kerjasama SFIA turut menghoskan sebuah webinar mengenai Taksonomi ASEAN bersempena pelancaran Versi 3 Taksonomi ASEAN.

    Hajah Noorrafidah bergambar ramai semasa mesyuarat berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BDCB
    Eugene Wong, Shinichi Tsunoda, Anjali Viswamohanan dan Mitch Gelber bergambar ramai semasa perbincangan tersebut. – GAMBAR SERAHAN BDCB

    Dalam ucaptama selaku Pengerusi ATB, Hajah Noorrafidah menekankan pentingnya webinar itu sebagai landasan untuk meningkatkan potensi Taksonomi ASEAN, memudahkan peralihan ke arah kemampanan serta keterangkuman.

    Taksonomi itu, tambahnya, menjadi panduan menyeluruh bagi menilai aktiviti-aktiviti mampan di serata ASEAN, melengkapi inisiatif-inisiatif kewangan mampan setiap negara anggota ASEAN.

    Di samping itu, beliau menekankan bagaimana peralihan imperatif yang dilaksanakan dalam Taksonomi ASEAN berkenaan telah memperoleh daya tarikan signifikan secara global serta dimasukkan ke dalam taksonomi negara anggota ASEAN masing-masing.

    Secara kolektif, usaha-usaha berkenaan bermatlamat untuk menyokong peralihan yang saksama dan teratur dalam rantau ASEAN, ulasnya lagi.

    Webinar diteruskan dengan pembentangan yang disampaikan oleh Pengarah Urusan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datin Azalina Adham mengenai Versi 3 Taksonomi ASEAN yang memperkenalkan kriteria pemeriksaan teknikal bagi dua sektor fokus tambahan iaitu pengangkutan dan penyimpanan serta pembinaan dan hartanah.

    Acara berkenaan juga menyaksikan panel perbincangan yang dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SFIA, Eugene Wong bersama ahli-ahli panel yang terdiri daripada Pengurus Besar Kumpulan Kewangan Mizuho, Shinichi Tsunoda; Pengarah Kumpulan Pelabur Perubahan Iklim Asia, Anjali Viswamohanan; dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Bangunan Hijau dari Malaysia, Mitch Gelber.

    Panel berkenaan membincangkan mengenai faktor-faktor yang diperlukan bagi peralihan yang adil dalam ASEAN dan meneroka peranan pelbagai sektor dalam ASEAN ke arah mencapai sifar bersih atau sasaran hijau.

    Webinar itu mengalu-alukan penyertaan daripada ahli-ahli badan sektoral ASEAN, organisasi antarabangsa, wakil-wakil industri serantau, pengantara dan orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda