Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Timbalan Setiausaha Tetap (Perdagangan dan Industri) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), Awang Mohammad Harris bin Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Ibrahim telah menghadiri Sesi Retreat dan Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-28 yang berlangsung di Davao City, Filipina pada 13 dan 14 November lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MOFE, di sini, mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Penandatanganan BIMP-EAGA bagi Filipina, Tuan Yang Terutama Leo Tereso Magno dan dihadiri oleh menteri-menteri penandatanganan BIMP-EAGA, gabenor dan ketua menteri BIMP-EAGA, pegawai-pegawai kanan BIMP-EAGA, Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Sekretariat ASEAN.
Mesyuarat berkenaan mengambil maklum akan hasil Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) BIMP-EAGA ke-33, antaranya perkembangan kumpulan kerja dan kluster termasuk penamaan semula Kluster Maklumat dan Komunikasi (ICT) kepada Kluster Digital, dengan skop diperluaskan untuk memanfaatkan teknologi baru muncul seperti kecerdasan buatan, penubuhan Pasukan Petugas Halal dan Kumpulan Kerja Zon Ekonomi untuk memanfaatkan peluang yang terdapat dalam koridor ekonomi BIMP-EAGA serta penandatanganan perjanjian antara Wasan Milling Co Sdn Bhd dan Perbandaran Nara, Pahlawan, Filipina bertujuan untuk memperkasa petani tempatan dan meningkatkan perdagangan serantau.
Selain mengambil maklum hasil Forum Ketua Menteri, Gabenor, Kerajaan Setempat (CMGLF) ke-7, antara lain bertujuan memperkukuhkan peranan CMGLF dalam menterjemahkan strategi sub-serantau kepada tindakan setempat serta menjalin kerjasama sub-kebangsaan termasuk melalui fora rentas sempadan atau dua hala untuk menggalakkan inisiatif-inisiatif saling melengkapi dan penyelesaian berterusan Pelan Tindakan Kerjasama BIMP-EAGA dan China 2026-2030, mesyuarat berkenaan juga mengalu-alukan laporan perkembangan Visi BIMP-EAGA (BEV) 2035, yang dijangka diteruskan daripada BEV 2025 sebelumnya dan bertindak sebagai prinsip panduan ke arah mencapai pertumbuhan sosioekonomi yang lebih tinggi di seluruh rantau berkenaan.
Mesyuarat Menteri-menteri BIMP-EAGA ke-28 dan Mesyuarat Berkaitan telah didahului oleh BIMP-EAGA SOM kali ke-33, BIMP-EAGA dan China SOM kali ke-16 dan BIMP-EAGA dan Sekretariat ASEAN SOM Pertama yang masing-masing diadakan pada 12 dan 13 November lalu.
Sementara itu, Persidangan Pelaburan BIMP-EAGA (BIMP-iCON) juga telah diadakan di luar Mesyuarat Menteri-menteri di mana Negara Brunei Darussalam telah menandatangani empat memorandum persefahaman (MoU) berkaitan pembangunan ICT semasa acara berkenaan.
Ditubuhkan pada 1994, BIMP-EAGA merupakan satu inisiatif di antara Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Filipina untuk mempercepatkan pembangunan sosioekonomi di dalam sub-rantau berkenaan.
Pada masa ini, ia mewakili kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan KDNK ASEAN.


