Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) kali ke-13 telah mengadakan mesyuarat pertama hari ini bagi membincangkan persediaan bagi sambutan tahunan tersebut.
Mesyuarat berlangsung di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), dan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan), KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; dan Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.
Dalam ucapan alu-aluan, Hajah Nor Ashikin menegaskan bahawa sambutan HKK tahun ini mencerminkan komitmen negara dalam menyokong pembangunan sosial ke arah masyarakat yang mampan dan sejahtera. Beliau berkata, sambutan ini bertujuan untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan pengukuhan institusi keluarga sebagai asas pembentukan identiti, nilai dan masa depan negara.
Tambah beliau, pembangunan keluarga merupakan elemen penting dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035, dengan matlamat menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah negara yang mempunyai kualiti hidup terbaik di dunia.
Tema sambutan HKK tahun ini ialah Keluargaku Harapanku, manakala fokus sambutan adalah Menerapkan Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei: Sayang-Menyayangi, Tanggungjawab, Hormat-Menghormati dan Pemedulian. Nilai-nilai itu selari dengan aspirasi global melalui 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta Pelan Tindakan Sosial Negara Brunei Darussalam, khususnya Aspirasi 2: Memperkasa Keluarga yang Penyayang, Kukuh dan Berdaya Tahan.


Beliau turut memaklumkan bahawa Pelan Tindakan Institusi Keluarga 2025–2029 telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Mesyuarat MKIS ke-2 2024, dan akan dilancarkan sebagai salah satu inisiatif utama sambutan tahun ini.
Sambutan HKK telah pun bermula pada 4 Mei lalu, dengan majlis kesyukuran diadakan pada 3 Mei. Pelbagai acara turut giat dijalankan sepanjang bulan ini oleh pelbagai pihak sebagai menyahut sambutan berkenaan.
Dalam ucapannya juga, beliau menyeru semua agensi kerajaan untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu aktiviti atau inisiatif bersempena sambutan HKK setiap tahun dan berkongsinya kepada Jabatan Perdana Menteri. Beliau berharap usaha memperkasa institusi keluarga dari aspek sosial, ekonomi dan rohani akan terus diperkuatkan sebagai teras utama dalam pembangunan mampan negara.
Akhir kata, beliau menyeru semua pihak untuk terus berganding bahu dan memberikan komitmen penuh bagi menjayakan sambutan HKK, demi kesejahteraan keluarga dan pembangunan negara.
Turut hadir dalam mesyuarat ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai kanan kerajaan, wakil sektor swasta serta wakil badan bukan kerajaan.

