BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JAN – Sebagai kesinambungan daripada mesyuarat pertama, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025 pagi tadi mengadakan mesyuarat kedua bertempat di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).
Hadir mempengerusikan bersama mesyuarat berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.
Mesyuarat dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang antara lain mengongsikan mengenai persiapan-persiapan yang sedang giat dilaksanakan bagi menjayakan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, Tahun 2025 yang akan diadakan pada 23 Februari nanti. Mesyuarat kedua berkenaan membincangkan mengenai persedia-an sambutan, antaranya ketetapan format persembahan padang, tempat, tetamu kehormat majlis bagi majlis-majlis, logo dan tema serta perbarisan dan ikrar termasuklah persediaan raptai-raptai yang akan dilaksanakan.
Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan juga menyatakan bahawa dengan bersandarkan penerapan pendekatan senegara, semua jawatankuasa akan dapat memberikan kerjasama dan sama-sama berganding bahu dalam memastikan sambutan berkenaan berjalan dengan lancar, teratur, sempurna dan berhemah daripada tahun sebelumnya.
Turut sama hadir ke mesyuarat tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Penasihat Bersama, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Juga hadir ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei selaku Timbalan Pengerusi Bersama, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-41, 2025.