Jumaat, 21 November 2025
27.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat bincang prospek ekonomi ASEAN

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OKT – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah, telah menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.

    Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Tuan Yang Terutama Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, dan turut dihadiri oleh para menteri AECC dari 10 negara anggota ASEAN dan Timor-Leste.

    Dalam mesyuarat berkenaan, para menteri mengambil maklum perkembangan kerja di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), termasuk perbincangan mengenai prospek ekonomi ASEAN, kemajuan ke atas Keutamaan Ekonomi Malaysia, inisiatif kelestarian ASEAN serta agenda transformasi digital serantau.

    Para menteri turut meluluskan dokumen hasil AEC yang akan dikemukakan kepada para pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Berkaitan yang dijadualkan pada 26 hingga 28 Oktober.

    Sebelum Mesyuarat AECC ke-26, para menteri turut mengadakan sesi khas mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), di mana mereka mengalu-alukan penyelesaian substantif rundingan DEFA yang dijangka akan ditandatangani pada tahun hadapan.

    Mesyuarat AECC ke-26 turut didahului dengan Mesyuarat Penyediaan Pegawai-pegawai Ekonomi Kanan (Prep-SEOM) yang berlangsung pada 23 Oktober.

    Mesyuarat Prep-SEOM telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin bersama pegawai-pegawai dari Bahagian Perdagangan kementerian berkenaan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bergambar ramai pada Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) ke-26 di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda