Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Bagi membincangkan persediaan-persediaan untuk menyambut Hari Keluarga Kebangsaan (HKK) ke-12, Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan telah mengadakan mesyuarat pertama di Bilik Persidangan, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin.
Hadir selaku Pengerusi Bersama Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan bagi 2024 ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) di KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; dan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Hari Keluarga Kebangsaan disambut pada setiap Ahad minggu pertama Mei setiap tahun dengan tema HKK pada tahun ini adalah Keluargaku Harapanku dan fokus sambutan adalah Menerapkan Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei: Sayang-menyayangi, Tanggungjawab, Hormat-menghormati, Pemedulian (Nilai-nilai Teras Kekeluargaan Brunei: SaTu HaraPan).
Dalam ucapan alu-aluannya, Hajah Nor Ashikin mengongsikan bahawa dalam menggerakkan matlamat kedua Wawasan Brunei 2035 iaitu mencapai kualiti kehidupan rakyat yang tinggi, satu rangka tindakan sosial telah digubal dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS), yang mengenal pasti keluarga sebagai salah satu bidang fokus utama sebagai landasan bagi penyediaan, perlaksanaan dan pemantauan dasar dan strategi yang lebih terarah bagi pencapaian matlamat tersebut.
Beliau berharap sambutan HKK pada tahun ini akan menjadi platform untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan memperkukuhkan nilai-nilai murni dalam keluarga.


Selain itu, beliau juga menekankan bahawa sambutan HKK merupakan salah satu inisiatif utama dalam Pelan Tindakan Keluarga di bawah MKIS.
Cadangan Pelan Tindakan Keluarga bagi tahun 2023–2027 telah dibentangkan dan disahkan di peringkat MKIS pada Mei 2023 dan akan dilancarkan pada tahun ini.
Beliau juga mengharapkan sambutan HKK diraikan di semua peringkat umur dan merentas generasi bermula dengan peringkat kanak-kanak, para belia, golongan warga emas dan tidak melupakan golongan orang kelainan upaya (OKU).
Oleh itu, semua pihak, agensi kerajaan, pihak swasta, pertubuhan-pertubuhan, institusi-institusi, para penghulu dan ketua kampung serta pemimpin akar umbi masyarakat diharap akan berganding bahu untuk terus sama-sama bekerjasama, dalam memberikan komitmen yang sepadu, terutama sekali dalam menggerakkan acara-acara sambutan, sama ada di peringkat kebangsaan, daerah, mukim atau kampung masing-masing, mahupun di peringkat sekolah dan institusi tertinggi, organisasi, persatuan, masyarakat, ataupun kumpulan keluarga masing-masing, untuk mencapai matlamat tersebut.
Turut hadir ke mesyuarat berkenaan ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, sektor swasta dan persatuan badan-badan bukan kerajaan.









