BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) mengukuhkan lagi hubungan baik antara kedua-dua pihak semasa Mesyuarat Dua Hala BDCB-MAS kali ke-5.
BDCB dan MAS membincangkan mengenai trend ekonomi antarabangsa dan serantau, serta perkembangan dalam kesalinghubungan pembayaran. Kedua-dua pihak juga turut menyentuh mengenai persediaan bagi menyambut ulang tahun ke-60 Perjanjian Kesalingbolehtukaran Mata Wang (CIA) pada tahun 2027.
Semasa mesyuarat tersebut, Pengarah Urusan BDCB, Hajah Rashidah binti Haji Sabtu, dan Pengarah Urusan MAS, Chia Der Jiun, telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memperkenalkan cross-border collateral arrangement (CBCA), yang akan membolehkan BDCB dan MAS untuk menerima jenis cagaran yang lebih luas dalam kemudahan penyediaan kecairan masing-masing.
Ini akan memberi institusi-institusi kewangan di kedua-dua buah negara fleksibiliti dalam pengurusan kecairan mereka dan seterusnya membantu mengekalkan kestabilan kewangan di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura.
Semasa mesyuarat tersebut, Hajah Rashidah menyatakan, mesyuarat dua-hala itu mencerminkan hubungan erat yang telah terjalin sekian lama antara BDCB dan MAS. Ia jua merupakan platform bernilai untuk memperkukuhkan lagi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang-bidang yang berkepentingan. Kerjasama berterusan antara BDCB dan MAS adalah penting dalam menangani perubahan ekonomi serantau.
Seterusnya, Chia Der Jiun merakamkan penghargaan kepada pihak BDCB sebagai tuan rumah mesyuarat tersebut dan menyatakan, MoU CBCA mengukuhkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala antara BDCB dan MAS. MAS juga menantikan sambutan ulang tahun ke-60 CIA di masa terdekat.


