BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Di samping Persidangan Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Ke Atas Penerangan (AMRI) ke-17 dan Persidangan AMRI Plus Three ke-8 yang telah berlangsung hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi kedua-dua persidangan tersebut, telah mengadakan mesyuarat-mesyuarat dua hala secara berasingan bersama Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Teo Nie Ching dan Menteri Penerangan Kemboja, Tuan Yang Terutama Neth Pheaktra.
Semasa mesyuarat dua hala bersama Timbalan Menteri Komunikasi Malaysia, Yang Berhormat Pehin menyatakan sokongan terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan seterusnya menekankan peranan AMRI dalam menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan serantau ke arah perpaduan ASEAN.
Yang Berhormat Pehin juga menzahirkan penghargaan kepada Malaysia atas sokongan mereka kepada Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi AMRI.
Manakala semasa mengadakan mesyuarat dua hala bersama Tuan Yang Terutama Menteri Penerangan Kemboja, Yang Berhormat Pehin memuji komitmen berterusan Kemboja selaku Timbalan Pengerusi AMRI sepanjang kepengerusian Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025 hingga 2026.
Yang Berhormat Pehin turut mengetengahkan sumbangan penting Kemboja dalam sektor media dan penerangan ASEAN termasuk mengatasi isu-isu berita palsu dan maklumat tidak tepat.
Semasa kedua-dua mesyuarat yang diadakan di The Empire Brunei, Jerudong itu, Yang Berhormat Pehin juga berbincang mengenai langkah-langkah bagi menerokai bidang-bidang berkepentingan bersama dalam bidang penerangan dan penyiaran serta menggalakkan usaha-usaha untuk mengeratkan kerjasama dua hala di antara Brunei, Kemboja dan Malaysia.
Selain itu, Yang Berhormat Pehin menyatakan harapan untuk terus menyokong mekanisme-mekanisme serantau ASEAN ke arah mencapai keutamaan dan key deliverables Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi AMRI bagi tahun 2025 hingga 2026.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri di JPM, Dato Seri Paduka Mohammad Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos dan Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin.





