Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Sekretariat Komanwel dan kerajaan Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) akan menjadi hos bagi Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Rantau Asia Komanwel bagi Belia yang akan berlangsung pada 27 hingga 29 Ogos ini.
Mesyuarat itu bakal menyaksikan pegawai-pegawai kanan yang bertanggungjawab bagi belia, pemimpin-pemimpin belia kebangsaan, petugas belia dan pihak-pihak yang berkepentingan serantau untuk menumpukan perbincangan terhadap landskap pembangunan belia serantau dan global serta membantu untuk mengenal pasti keutamaan-keutamaan yang perlu dilaksanakan.
Antara matlamat mesyuarat adalah untuk menilai trend semasa mengenai pembangunan belia, mengenal pasti strategi dan keutamaan bagi tindakan masa hadapan ke arah memajukan belia di rantau ini, serta untuk mempersetujui satu kenyataan mengenai keutamaan dan pelan tindakan bagi rantau Asia yang selaras dengan dasar belia Komanwel.
Semasa Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (COGHM) ke-25 di United Kingdom pada 19 hingga 20 April 2018, para pemimpin telah membincangkan mengenai bagaimana Komanwel dapat menyumbang kepada masa hadapan yang lebih adil, mampan, terjamin dan makmur.
Ketua-ketua kerajaan juga telah menegaskan bahawa pemerkasaan belia adalah amat kritikal dalam merealisasikan Agenda bagi Pembangunan Mampan 2030 dan aspirasi Piagam Komanwel.
Dalam hubungan itu, para pemimpin menekankan perlunya untuk menjana peluang-peluang pekerjaan yang bermakna bagi golongan belia dan mereka bersetuju ke atas beberapa mandat penting termasuk perlunya untuk melabur dalam sistem pendekatan untuk menyokong golong muda, mengutamakan pembangunan belia dalam perancangan pembangunan negara serta untuk menyokong usaha pembangunan keamanan belia.