BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN mengenai Dadah (ASOD) kali ke-43 telah diadakan pada 31 Oktober hingga 3 November lalu.
Mesyuarat berkenaan telah dihadiri oleh Pengarah Biro Kawalan Narkotik (BKN), Dato Paduka Mohd Zalani bin Haji Ismail, selaku ketua delegasi dan juga beberapa orang pegawai kanan dari BKN.
Mesyuarat tersebut telah membincangkan dan bertukar maklumat dalam sama-sama memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
Semasa majlis pembukaan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Malaysia, Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan bin Haji Abdul Aziz, selaku tetamu kehormat telah menyentuh mengenai situasi dadah yang semakin kompleks dengan peningkatan jenayah rentas sempadan dan kewujudan kumpulan jenayah terancang.
Dalam pada itu, beliau telah menekankan agar pemimpin-pemimpin ASOD untuk terus menyokong visi toleransi sifar dalam menangani isu dadah di rantau ini dan komited dalam melaksanakan pelan kerja ‘The ASEAN Work Plan on Securing Communities Against Illicit Drug 2016–2025’.
Mesyuarat tersebut turut menyaksikan pelancaran naskhah laporan terbitan ASEAN Narcotics Cooperation Center (ASEAN-NARCO) bertajuk ASEAN Drug Monitoring Report 2021.
Laporan tersebut membentangkan mengenai situasi dadah ASEAN secara menyeluruh bagi tahun 2021 dan juga inisiatif yang telah dilaksanakan berdasarkan kepada strategi pengurangan pembekalan dan permintaan dadah oleh negara-negara ahli ASEAN.
Di samping Mesyuarat ASOD kali ke-43, mesyuarat bersama rakan-rakan dialog melalui 7th ASOD+China Consultation, 7th ASOD+Japan Consultation, 15th ASOD+3 Consultation dan 4th ASOD+Russia Consultation juga telah diadakan.
