Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat fokus projek sambungan grid tenaga rentas sempadan

    KUCHING, 17 JUN – Projek sambung tara merentas sempadan di bawah inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) antara agenda utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Tenaga ASEAN ke-43 (SOME) anjuran Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

    Mesyuarat tiga hari yang bermula semalam itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli selaku Pengerusi ASEAN SOME 2025.

    Dalam kenyataannya hari ini, PETRA memaklumkan mesyuarat turut menilai kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) Fasa II 2021-2025, serta membincangkan hala tuju dan pembangunan dokumen APAEC 2026-2030.

    “Perbincangan turut memberi tumpuan kepada kemajuan perdagangan tenaga pelbagai hala menerusi Projek Integrasi Tenaga Lao PDR-Thailand-Malaysia- Singapura (LTMS-PIP).

    “Topik berkaitan dasar peralihan tenaga juga diberi perhatian, termasuk peningkatan tenaga boleh baharu, kecekapan tenaga, potensi tenaga nuklear serta penyelarasan dasar tenaga serantau,” menurut kenyataan itu.

    Mesyuarat tersebut menghimpunkan pegawai kanan tenaga dari semua negara anggota ASEAN, dengan kehadiran wakil Timor-Leste sebagai pemerhati, sekali gus menjadi platform utama dalam membincangkan dasar tenaga serta memperkukuh hala tuju strategik kerjasama tenaga serantau.

    Ia juga membuka ruang kepada negara anggota untuk mengambil maklum mengenai penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN pada masa hadapan.

    “Dengan kerjasama erat yang terjalin antara semua pihak, ASEAN berada pada landasan kukuh untuk membina masa depan tenaga yang lestari dan menyumbang ke arah kesejahteraan bersama,” katanya. – Bernama

    Datuk Mad Zaidi semasa mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Tenaga ASEAN ke-43 kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda