Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat G7 bincang krisis Timur Tengah

    ROM, 25 NOV – Menteri-menteri luar negara anggota G7 memulakan mesyuarat dua hari di Itali hari ini, yang menumpukan krisis di Timur Tengah sebelum beralih kepada isu Rusia dan perang di Ukraine.

    Menurut kenyataan Kementerian Luar Itali, mesyuarat turut membincangkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan ketua tentera Hamas, serta kesannya terhadap krisis semasa di Lubnan dan Gaza.

    Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, menyertai mesyuarat di Fiuggi dan Anagni bersama menteri luar dari negara anggota G7 lain iaitu Britain, Kanada, Jerman, Perancis dan Jepun, yang dihoskan oleh Menteri Luar Itali, Antonio Tajani.

    Sesi pertama pada petang tadi menumpukan situasi di Timur Tengah dan Laut Merah, termasuk usaha mencapai gencatan senjata di Gaza dan Lubnan.

    Sesi lain akan melibatkan menteri luar dari Arab Saudi, Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar, bersama Setiausaha Agung Liga Arab, menurut kenyataan dari Rom.

    “Kami telah meminta kehadiran rakan serantau untuk menggalakkan dialog dengan negara-negara anggota G7,” kata Tajani dalam kenyataan itu.

    “Hanya melalui kerjasama kita dapat menemui penyelesaian konkrit bagi membawa keamanan dan kestabilan ke rantau ini,” tambahnya.

    Pada hari kedua perbincangan esok, akan memberi tumpuan kepada Ukraine dengan kehadiran Menteri Luar Ukraine, Andriy Sybiga.

    Para pegawai akan membincangkan langkah untuk terus menyokong Kyiv, prospek keamanan dan inisiatif pembinaan semula pada masa hadapan, menurut kenyataan itu. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda