Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat kabinet pertama di ibu negara Nusantara

    JAKARTA, INDONESIA, 12 OGOS – Presiden Indonesia, Joko Widodo mengadakan mesyuarat kabinet pertamanya di ibu negara baharu Nusantara, di tengah-tengah tapak pembinaan yang luas dan keraguan tentang kemampanan projek mega yang bercita-cita tinggi itu.

    Widodo mula bekerja dari bandar itu dua minggu lalu, menggunakan pejabat di dalam tapak pembinaan istana baharu yang besar dalam bentuk burung helang mitos Garuda, simbol negara itu.

    Bandar berkenaan akan mengadakan sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia yang pertama dalam masa kurang dari seminggu.

    Hadir bersama penggantinya, bakal presiden Prabowo Subianto, di hadapan istana berkenaan, Widodo menegaskan bahawa usaha pembinaan kontroversi bernilai AS$33 bilion itu akan berbaloi.

    “Ibu negara Nusantara adalah kanvas yang melambangkan masa depan. Tidak semua negara mempunyai peluang dan keupayaan untuk membina ibu negara mereka bermula dari sifar,” kata Widodo.

    Subianto berikrar pentadbirannya akan meneruskan kerja di bandar baharu itu selepas ia memegang jawatan pada 20 Oktober.

    “Kami pasti akan menyiapkannya, walaupun rancangan itu mengambil masa berpuluh-puluh tahun, seperti ibu kota lain juga mengambil masa yang sangat lama. Kita tidak patut memaksanya, tetapi saya optimis dalam tempoh lima tahun saya fikir ia akan berfungsi dengan baik,“ kata Subianto.

    Hari ini juga menyaksikan upacara pecah tanah untuk istana naib presiden, serta beberapa bangunan yang dibiayai swasta.

    Kerajaan menjangka membayar hanya 20 peratus daripada bajet AS$33 bilion yang dirancang, banyak bergantung pada pelaburan sektor swasta untuk membina infrastruktur utama dan kemudahan awam. – AFP

    Foto yang dikeluarkan oleh Istana Presiden Indonesia menunjukkan Presiden Joko Widodo bercakap dengan wartawan ditemani Menteri Pertahanan Indonesia dan calon presiden, Prabowo Subianto (kanan) di ibu kota baharu Nusantara di Penajam Paser Utara, Kalimantan Timur, Indonesia, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda