Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat kastam Brunei, M’sia kukuh kerjasama

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 NOV – Mesyuarat Kerjasama Dua Hala ke-11 di antara Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED) Negara Brunei Darussalam dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), telah berlangsung di sebuah hotel di Langkawi, Kedah, Malaysia, baru-baru ini.

    Pemangku Pengawal Kastam dan Eksais Diraja, JKED, Awang Muhammad Azizil Hakim bin Haji Brahim, dan Ketua Pengarah Kastam, JKDM, Yang Berbahagia Dato’ Anis Rizana Mohd Zainudin telah mempengerusikan mesyuarat berkenaan bersama.

    Mesyuarat berkenaan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan JKED dan JKDM bagi membincangkan perkembangan terkini kedua-dua pentadbiran kastam serta isu-isu berkepentingan bersama untuk memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai aspek.

    Ini terutama dalam usaha memudahcara perdagangan rentas sempadan tanpa mengetepikan keselamatan pergerakan barangan di pos-pos kawalan serta pengawalan yang berkesan bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan seperti penyeludupan barang di sempadan dan perairan negara.

    Di samping mesyuarat, delegasi JKED telah melawat Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) Langkawi dan Pangkalan Marin Kastam Langkawi bagi mengetahui secara lebih dekat akan kemudahan latihan yang disediakan dan melihat kawasan rondaan JKDM di perairan Pulau Langkawi.

    Akademi Kastam Malaysia (AKMAL) merupakan sebuah Pusat Latihan Serantau yang diiktiraf oleh Organisasi Kastam Dunia (WCO) bagi menganjurkan latihan serta operasi penguatkuasaan di perairan.

    Mesyuarat Kerjasama Dua Hala ke-12 antara JKED dan JKDM bakal diadakan di Negara Brunei Darussalam pada tahun 2025.

    Awang Muhammad Azizil Hakim bersama wakil JKED ke mesyuarat berkenaan
    Sesi gambar ramai dalam mesyuarat berkenaan.
    Antara pengisian mesyuarat berkenaan.
    Gambar ramai semasa lawatan ke Pangkalan Marin Kastam Langkawi. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JKED

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda