Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Mesyuarat ke-4 Kumpulan Kerja ASEAN untuk Deklarasi mengenai Budaya Pencegahan (CoP) bagi Masyarakat Aman, Inklusif, Berdaya Tahan, Sihat dan Harmoni telah bersidang secara persidangan video hari ini. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari itu menggariskan rancangan dan keutamaan-keutamaan ke arah menggerakkan pelaksanaan CoP dengan mengenal pasti tindakan-tindakan yang berpotensi, serta meningkatkan kerjasama antara-sektor bagi kesinambungan pelaksanaan projek-projek dan inisiatif-inisiatif dasar CoP.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KKBS, dengan memperbaharui komitmen serta mengambil kira usaha-usaha pasca-pemulihan pandemik COVID, para pegawai kanan Majlis Komuniti Sosiobudaya ASEAN (SOCA) bersama pengerusi-pengerusi dan timbalan pengerusi badan-badan sektoral di bawah Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC) dan Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi ASCC, Tuan Yang Terutama Kung Phoak menekankan pentingnya pelaksanaan Deklarasi ASEAN mengenai CoP bagi Masyarakat Aman, Inklusif, Berdaya Tahan, Sihat dan Harmoni ke arah meningkatkan kerjasama antara-sektor dan antara-tunggak, khususnya bagi perkara-perkara di bawah bidang-bidang keutamaan yang kurang mendapat perhatian. Ini juga selaras dengan keutamaan kepengerusian Negara Brunei Darussalam, di bawah tema We Care, We Prepare, We Prosper bagi tahun ini.
Mesyuarat juga telah mengambil maklum dapatan terbaharu mengenai rancangan pelaksanaan dan keutamaan bagi enam teras CoP yang dikongsikan oleh badan-badan sektoral utama iaitu Teras 1: Culture Of Peace And Intercultural Understanding daripada pengerusi ASEAN Senior Officials Meeting for Culture and Arts, Teras 2: Culture Of Respect For All daripada pengerusi ASEAN Senior Officials Meeting on Social Welfare and Development, Teras 3: Culture Of Good Governance At All Levels daripada pengerusi ASEAN Cooperation on Civil Service Matter, Teras 4: Culture Of Resilience And Care For The Environment daripada pengerusi ASEAN Committee on Disaster Management; Teras 5: Culture Of Healthy Lifestyle daripada pengerusi ASEAN Senior Officials Meeting for Health Development; dan Teras 6: Culture Supporting The Values Of Moderation daripada pengerusi ASEAN Senior Officials Responsible for Information. Menurut kenyataan, kumpulan kerja berkenaan telah ditubuhkan di bawah Deklarasi CoP yang disahkan oleh para pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-31 yang telah diadakan pada 13 November 2017 di Manila, Republik Filipina. Deklarasi tersebut menekankan perlunya mengambil pendekatan awal (upstream) bagi mencegah timbulnya permasalahan kemudian (downstream).
Mesyuarat juga mengalu-alukan usaha menyebarluaskan pemahaman mengenai CoP, termasuk bagi memuat naik Pelan Tindakan CoP serta Matriks Pemantauan berhubung pelaksanaan Pelan Tindakan CoP ke dalam laman sesawang ASEAN serta cadangan untuk mengadakan Partnership Forum to Advance the Implementation of the CoP dan beberapa siri webinar ASEAN CoP.