Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat kedua bincang Hari Keputeraan

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Bagi Tahun 2024 telah diadakan pagi tadi bertempat di Dewan Serbaguna, Aras 6, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, bagi membincangkan laporan persediaan acara-acara sambutan perayaan.

    Mesyuarat kedua berkenaan dipengerusikan bersama oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh; dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dalam ucapan muqadimahnya menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih di atas kurnia titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam terhadap sokongan Jawatankuasa Kebangsaan bagi pelantikan Yang Di-Pertua Jabatan Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar, dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr. Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Penasihat-Penasihat kepada Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-78 Tahun.

    Mesyuarat juga turut membincangkan mengenai dengan Upacara Pengibaran dan Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam, Majlis Kesyukuran Sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah, Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran, Istiadat Barisan Kehormatan, Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di Daerah-Daerah, Majlis Khatam Al-Quran 78 Kali Khatam Ahli-Ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung, Penuntut-Penuntut Sekolah dan Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Seluruh Negara dan Riadah Berbasikal Keputeraan 2024.

    Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menyampaikan ucapan muqadimah. – Gambar oleh Muiz Matdani
    (Dari kiri) Mufti Kerajaan Brunei Darussalam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua; dan YAM Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin turut hadir di mesyuarat tersebut.

    Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Selasa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda