Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Mesyuarat ketengah usaha pertanian mampan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Mesyuarat Jawatankuasa Pandu bagi Rangkaian Serantau ASEAN-AVRDC bagi Pembangunan dan Penyelidikan Sayur-Sayuran (AARNET) ke-17 telah diadakan di Universiti Teknologi Brunei (UTB) pada hari ini hingga 30 Mei.

    Mesyuarat telah dihadiri oleh ahli-ahli jawatankuasa dari negara-negara anggota ASEAN yang terdiri daripada pakar-pakar serta pihak yang berkepentingan dalam bidang pembangunan dan penyelidikan sayur-sayuran.

    Di mesyuarat tersebut, kata alu-aluan telah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Inovasi Makanan dan Agri-Teknologi, Poh Bee Ling yang juga Pengerusi AARNET dan diikuti oleh kata alu-aluan daripada Pengarah Pusat bagi Penyelidikan Teknologi dan Sains Agrimakanan (CrAFT), Dr Syazana binti Abdullah Lim dan Pengarah Serantau bagi World Vegetable Center-East and Southeast Asia, Delphine Larrousse.

    AARNET merupakan sebuah platform kolaboratif yang ditubuhkan bersama oleh ASEAN dan World Vegetable Center di mana ia mempunyai objektif utama untuk mengembangkan usaha pembangunan dan penyelidikan dalam pengeluaran sayur-sayuran, pengurusan lepas tuaian dan pertanian mampan.

    Di samping itu, rangkaian berkenaan juga mempunyai tumpuan kepada kerjasama serantau, perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi bagi meningkatkan produktiviti sayur-sayuran, nilai khasiat serta kebolehpasaran di serata negara-negara ASEAN.

    Semasa mesyuarat berkenaan, ahli-ahli jawatankuasa telah mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan mengenai pelbagai aspek pembangunan dan penyelidikan sayur-sayuran.

    Mesyuarat itu memberikan tumpuan kepada pelbagai agenda termasuk perkembangan terkini cadangan projek AARNET, mengenal pasti cabaran-cabaran signifikan yang dihadapi dalam sektor sayur-sayuran di rantau ASEAN, menerokai penyelesaian inovatif serta menubuhkan kerjasama untuk menangani cabaran-cabaran berkenaan dengan efektif.

    Mesyuarat dua hari berkenaan berakhir dengan ahli-ahli jawatankuasa mencapai konsensus untuk menetapkan cadangan bagi mengukuhkan operasi rangkaian dan impaknya dalam rantau ASEAN serta untuk menjana inisiatif masa hadapan bagi memenuhi permintaan industri sayur-sayuran yang sentiasa berubah.

    Ahli-ahli jawatankuasa berkenaan juga telah mengadakan lawatan ke Kawasan Kemajuan Pertanian Tungku dan Kawasan Kemajuan Pertanian Rimba, Gadong di mana mereka menyaksikan secara langsung inisiatif pertanian dan amalan inovatif yang dilaksanakan di kawasan-kawasan berkenaan.

    Dr Syazana semasa menyertai AARNET ke-17 telah diadakan di UTB, baru-baru ini.- Gambar serahan UTB

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...