Saturday, November 16, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mesyuarat kongsi masa depan pendidikan Brunei, S’pura

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama ke-14 antara Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan Republik Singapura telah berlangsung kelmarin di Hotel Radisson.

    Mesyuarat itu telah dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan Setiausaha Tetap (Pendidikan), Kementerian Pendidikan Republik Singapura, Lim Wan Yong.

    Turut hadir dalam mesyuarat berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam.

    Mesyuarat itu merupakan acara tahunan yang berfungsi sebagai platform bagi Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Pendidikan Republik Singapura untuk membincangkan perkembangan pendidikan utama, menilai kerjasama yang berterusan serta meneroka bidang baru untuk perkongsian masa depan dalam pendidikan.

    Pada tahun ini, kedua-dua kementerian mengemas kini maklumat mengenai penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak serta program penempatan dalam pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional.

    Selain itu, Brunei juga mengongsi mengenai perkembangan beberapa kolaborasi dalam bidang pendidikan seperti Program Penyerapan dan Kembar Sekolah manakala pihak Singapura menyampaikan mengenai inisiatif berterusan pihak Kementerian Pendidikan Singapura.

    Kerjasama masa depan turut dibincangkan semasa mesyuarat tersebut termasuk meningkatkan pertukaran bagi tenaga pengajar dan pelajar serta pengintegrasian STEAM dalam kurikulum sebagai cadangan bidang selanjutnya.

    Pihak Kementerian Pendidikan Brunei juga berpeluang untuk membawa rombongan Kementerian Pendidikan Singapura mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Temburong, bagi meninjau dengan lebih dekat mengenai pelaksanaan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak dan pengintegrasian STEAM.

    Rombongan berkenaan turut berpeluang mengenali aktiviti kebudayaan di Daerah Temburong.

    Rombongan Kementerian Pendidikan Singapura mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Sultan Hashim Batu Apoi, Temburong. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati bergambar ramai bersama rombongan Kementerian Pendidikan semasa mesyuarat kumpulan kerja baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda